Kerajaan selamba Malaysia di ambang kegawatan ekonomi

- Advertisement -

SEMEMANGNYA situasi seperti ini, iaitu negara kita sedang berhadapan dengan kegawatan ekonomi, merupakan berita gembira kepada parti pembangkang. Dalam berhadapan dengan PRN enam negeri yang bakal berlangsung pada akhir Julai atau awal Ogos, kemuraman ekonomi negara pasti menjadi hambatan kepada gabungan PH-BN untuk menang. Bagaimanapun, diyakini PN tidak ‘menangguk di air keruh’, mengeksploitasi situasi ini secara murahan hanya untuk mencapai kemenangan.

Petunjuk-petunjuk ekonomi global dan lokal menunjukkan Malaysia bakal berhadapan dengan kegawatan ekonomi menjelang pembentangan Bajet 2024 pada bulan Oktober, sekiranya langkah-langkah proaktif dan progresif tidak dilakukan oleh Kerajaan Campuran PH-BN. Namun demikian, Perdana Menteri khususnya masih bersikap ‘selamba’, seolah-olah signal yang ada tidak membawa apa-apa amaran. Beliau terus membuat ‘roadshow’ untuk tujuan menaikkan populariti dan mencipta persepsi. 

Mutakhir ini, beberapa negara telah masuk kancah kegawatan ekonomi kesan daripada situasi ekonomi pasca-COVID-19 dan Perang Russia-Ukraine. Yang terbaru masuk ke kancah kegawatan ekonomi (technical recession) ialah New Zealand, antara negara yang dikatakan paling berjaya membendung pandemik COVID-19. Antara penyebab utama negara tersebut menghadapi situasi ini ialah tindakan berterusan bank pusat menaikkan kadar faedah sebagai ikhtiar untuk mengekang inflasi.

Demikian juga dengan negara-negara Eropah atau dikenali Eurozone, juga sudah memasuki kancah kegawatan ekonomi teknikal setelah perkembangan ekonomi mereka menguncup pada suku pertama tahun ini. Faktor utama yang menyebabkan mereka mengalami kegawatan ialah kenaikan inflasi, yang merupakan kesan langsung daripada Perang Russia-Ukraine. Sebagaimana pengaruh ekonomi US dan China, kegawatan yang dialami oleh Eurozone juga boleh mempengaruhi ekonomi global.

Negara jiran Malaysia, Singapura, sedang memantau dengan begitu berhati-hati kemungkinan negara tersebut pun bakal memasuki kancah kegawatan ekonomi. Baru-baru ini, eksport negara tersebut telah jatuh 14.7 peratus yang menjadi antara petunjuk penting, negara tersebut sedang berhadapan dengan risiko memasuki kancah kegawatan ekonomi. Oleh yang demikian, kemungkinan berlakunya kegawatan ekonomi berskala global pada separuh kedua tahun 2023 ini, bukanlah sesuatu yang mustahil.

Bagaimanapun, di dalam berhadapan dengan kemuraman ekonomi global ini, Kerajaan Campuran PH-BN khususnya Perdana Menteri masih bersikap selamba. Boleh jadi, perkembangan ekonomi negara pada suku pertama tahun ini pada kadar 5.6 peratus menyebabkan kerajaan berasa selesa. Demikian juga, dilaporkan oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, pelaburan masuk ke Malaysia bagi suku pertama tahun ini meningkat sebanyak 59.7 peratus berbanding suku pertama tahun 2022 yang lalu.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada satu pengumuman yang meyakinkan apatah lagi langkah-langkah yang berkesan diambil oleh kerajaan untuk berhadapan dengan kemungkinan berlakunya kegawatan ekonomi. Perdana Menteri sibuk dengan aktiviti roadshow ke seluruh negara seolah-olah seperti tidak apa-apa yang berlaku. Beliau terus cuba mengelirukan rakyat dengan naratif rasuah dan salah guna kuasa, sedangkan faktor langsung menyebabkan kegawatan ekonomi yang bakal berlaku bukanlah disebabkan itu.

Sekiranya kerajaan dan Perdana Menteri masih dengan sikap selamba, malah terus menerus berpolitiking, tidak menghairankan jika Malaysia akan memasuki kancah kegawatan ekonomi lebih awal. Meskipun secara teknikalnya, paling awal Malaysia dijangka boleh memasuki kancah itu pada suku keempat 2023, sikap selamba Kerajaan Campuran PH-BN boleh menyebabkan rakyat merasai gejala-gejala kegawatan ekonomi lebih awal. Situasi ini memang menguntungkan pembangkang, tetapi apa maknanya jika rakyat menderita.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat– HARAKAHDAILY 21/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -