PRN: Menang PN isyarat PH-BN tumbang di Pusat

- Advertisement -

SHAH ALAM: PRN yang akan berlangsung di enam negeri tidak lama lagi amat penting dimenangkan kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) sebagai isyarat penolakan rakyat pelbagai kaum terhadap Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PH-BN adalah gabungan yang sukar dan tidak mungkin boleh mentadbir negara serta dilihat oleh banyak pihak tidak akan bertahan lama.

Beliau berucap pada Himpunan Pelancaran Jentera Pemuda PN di sempena Ijtimak Tarbawi 9.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia yang dilangsungkan di i-City Convention Centre (ICCC), di sini sebentar tadi.

“Ya ia mungkin tidak mengubah keadaan kerajaan di peringkat Persekutuan. Tetapi dengan kemenangan yang akan ditunjukkan oleh PN di enam negeri ini memberikan (peringatan kepada) Anwar Ibrahim bahawa dia tak boleh duduk lama di situ. Satu hari nanti PH-BN akan tumbang,” ujarnya.

Menurut beliau, ramai mereka yang menyokong PH pada PRU15 lalu marah kerana pakatan itu bergabung dengan Umno, manakala penyokong Umno pula marah kerana bergabung dengan PH.

Katanya, ramai dalam kalangan penyokong kedua-dua komponen itu merasa kecewa dan mahu secara senyap-senyap memberikan undi sokongan kepada PN pada PRN di enam negeri tersebut.

PH-BN ujarnya tidak akan dapat duduk bersama kerana memiliki ideologi berbeza dan memperjuangkan dasar-dasar saling bertentangan yang ibarat tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.

“Sudah hampir lebih daripada enam bulan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim mentadbirkan negara. Selepas 100 hari kerajaan terbentuk, biasanya sudah ada satu perancangan yang jelas tentang halatuju masa depan yang nak dibawa.

“Tetapi hari ini sudah lebih daripada 100 hari, formula demi formula, langsung tidak ada satu kenyataan yang jelas tentang apa yang nak dilakukan oleh pihak pimpinan kerajaan yang ada pada hari ini. 

“Saya tahu bahawa kerajaan hari ini boleh cakap pelbagai perkara untuk meletakkan negara ini pada suatu situasi yang lebih baik, tetapi jelas terbukti apa yang kita saksikan pada hari ini sejak beberapa tempoh yang sudah berlalu tidak ada satu pun kenyataan yang jelas.

“Bahawa kerajaan yang ada pada hari ini mempunyai satu perancangan tentang cara bagaimana nak melaksanakan rencana apa yang telah pun dijanjikan dalam manifesto mereka dalam pilihan raya yang lepas untuk dilaksanakan bagi kepentingan rakyat jelata,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 17/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -