Terima kasih orang P Pinang prihatin hal Terengganu

- Advertisement -

DALAM Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 Kerajaan negeri mempunyai perancangan khusus untuk meningkatkan hasil padi negeri.

Hasilnya kita berjaya meningkatkan kadar cukup sara diri beras dari 43 peratus (2018), 48 peratus (2019), 53 peratus (2020), 58 peratus (2021) dan 60 peratus (2022).

Strategi mempertingkatkan hasil padi Terengganu:

1. Mengekalkan kawasan padi sedia ada. Kerajaan Negeri mempunyai prosedur ketat untuk tukar syarat guna tanah. Pandangan Jabatan Teknikal seperti Plan Malaysia, PBT, Jabatan Pertanian, JPS, Pejabat Daerah dan lain-lain akan dinilai. Tanah yang digunakan sebagai kawasan pertanian aktif pengeluaran makanan tidak akan diluluskan untuk kegunaan lain seperti perumahan atau komersial. 

2. Meningkat pengeluaran/hektar. Jelapang padi IADA Ketara Terengganu adalah kawasan pengeluar padi yang kedua tertinggi di Malaysia, 5.2mt/ha.

3. Pembangunan infra, Kerajaan Negeri juga memperuntukan RM2.5 juta bagi projek pembangunan padi pada tahun 2021 dan RM700,000 tahun 2022 dalam usaha memastikan infrastruktur sawah padi terutamanya sistem pengairan dilengkapi sebaiknya.

4. Kawasan bertanam sekali setahun dijadikan 2 kali setahun. Antaranya Skim Padi Paya Dadong dan Skim Paya Paman di Kemaman dan Skim Durian Mentangau Dungun yang dinaik taraf untuk bertanam 2 kali setahun.

5. Kilang padi di Daerah Besut sebagai jelapang padi utama Terengganu hanya 2 buah pada tahun 2018 sekarang telah menjadi 4 buah kilang.

6. Kerajaan Negeri bersama KPKM sedang dalam proses perluasan jelapang padi Terengganu dari 5,000 ha kepada 1,000 ha. Faktanya ialah kawasan jelapang padi Terengganu sedang diusahakan untuk semakin luas. Mohon dikemukakan fakta kepada saya sekiranya ada sawah padi aktif yang diluluskan untuk dibina projek komersial.

7. Bagi tahun 2023 Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM6 juta kepada JPS bagi tujuan menaik taraf dan menyelenggara sistem pengairan sawah padi.

Semua fakta-fakta ini berulang kali saya bentangkan kepada Dewan Undangan Negeri, menulis dalam pelbagai media termasuk post dalam Facebook ini. Jemput CAP ikuti jika berminat. Tentu sekali tiada sebarang keperluan untuk semua laporan ini dihantar oleh Kerajaan Negeri kepada CAP. 

Terima kasih.

YB DR AZMAN IBRAHIM
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi Dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu – HARAKAHDAILY 14/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -