PAS Terengganu pertahan kemenangan negeri Tok Ku Paloh

Wisma Darul Iman.
- Advertisement -

BAHANG pilihan raya negeri (PRN) semakin menebar aroma, rakyat bawahan mula bercakap di kedai-kedai kopi, serambi masjid, surau, juga merambah ke pelbagai media sosial. Perbincangan seputar pilihan raya turut memanaskan bilik mesyuarat, ruang usrah dan kumpulan aplikasi WhatsApp. Terengganu sebagai jantung hati negeri orang Melayu tetap memicu pesona peminat politik, negeri ini tetap panas seperti kuih pau manis yang baru keluar oven.

- Advertisement -

Umno Terengganu menggiatkan kempen menyerang kerajaan PAS Terengganu, dengan pelbagai isu yang menjadi boomerang kepada mereka sendiri. Rakyat Terengganu secara umumnya berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan PAS yang dinakhodai oleh Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Banyak faktor indeks kepuasan rakyat Terengganu terhadap kerajaan PAS yang memerintah sekarang, segalanya memungkinkan rakyat akan mengadili keseronokan  ini kedalam peti undi PRN 15 ini.

Pertama, kerajaan fokus membangunkan ekonomi negeri sehingga rakyat melihat kemajuan negeri. Menurut Exco Pelancongan Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman “semua hotel di bawah kerajaan negeri mencatatkan keuntungan…pelancongan domestik negera ini memperlihatkan Terengganu menjadi sasaran pelancongan. Aset anugerah Tuhan seperti pantai bersih yang memanjang daripada Besut ke Kemaman. Begitu juga Terengganu mempunyai pulau-pulau yang terbaik dalam dunia, menjadi pilihan kepada tetamu luar negara. Terengganu juga menambahbaik prasana pelancongan termasuk Tasik Kenyir, projek terbengkalai zaman Mad Said dibaik pulih…insya-Allah Terengganu akan menjadi tarikan utama pelancongan dalam negara ini”.

Kedua, kerajaan PAS Terengganu fokus menunaikan janji dalam manifesto dan ini kontradik dengan sikap kerajaan PH dan PMX. Mereka sedang menuai kemarahan rakyat dan dimaki berjemaah di medsos. Warga TikTok mentertawakan ucapan-ucapan PMX sebelum ini, bergentayangan di merata ritu alam maya video-video pendek pembohongan pemimpin PH.

Menurut Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, antara mengapa rakyat selesa dengan PAS ialah kesungguhan menunaikan janji-janji manifesto. 20 tawaran PAS kepada rakyat Terengganu dalam pilihan raya ke-14, semuanya dapat dilunaskan. Antaranya memberikan tanah kepada rakyat, pemberian rumah kepada rakyat miskin, air percuma, pemberian lesen motor kepada anak muda secara percuma, bayaran wad kelas ketiga percuma dan lain-lain tawaran. Umno dan PH tak mampu menembak kerajaan PAS dalam keseriusan menunaikan manifesto.

Ketiga, PAS Terengganu melangkah dengan senyuman bergaya di bawah kepimpinan Dato’ Ustaz Haji Husein Awang telah mengumumkan beberapa tawaran menarik kepada rakyat Terengganu untuk berdepan dengan PRN 15. Antara empat manifesto yang ditawarkan ialah pemberian pinjaman qardul hasan untuk anak muda membeli motosikal maksimum 4,000 ringgit, membina lorong berkembar sepanjang pantai Terengganu menjelang 2027 dan ini mampu menarik perhatian rakyat kerana akses mereka semakin pelbagai dan banyak pilihan. Penyediaan khairat kematian sebanyak 500 ringgit kepada rakyat yang meninggal dunia. Selain itu PAS Terengganu menawarkan tabung usahawan belia sebanyak lima juta setahun.

Sepanjang lima tahun ini, landskap sosiobudaya yang semakin membaik, ceramah, kuliah, forum perdana, himpunan amilin adalah seperti irama yang mengasyikkan dan khabar gembira daripada rakyat negeri Terengganu. Ribuan penuntut ilmu setiap minggu berhimpun di Kampung Rusila, Medan Ilmu Jerteh, Medan Ilmu Hulu Terengganu dan lain-lain lokasi negeri itu. Pengkuliah yang tersohor dan berilmu akan menambah gula dalam senyuman rakyat Terengganu bak teh panas yang dimakan dengan nasi dagang.

Kerajaan PAS Terengganu tak mengamalkan polisi balas dendam, mengheret politik menghunus permusuhan bukanlah cara pemimpin PAS dan ini menyebabkan rakyat terbanyak melihat keadilan sosial. Daripada anggota legislatif PAS, Penyelaras DUN sehinggalah Pengerusi JPKK telah melaksanakan dasar tidak memilih “bendera” dalam menyalurkan bantuan. Impaknya memang dirasai apabila PRU15, November lepas menyaksikan PAS menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen di Terengganu. Berbeza dengan zaman Umno BN memerintah, bantuan kepada kelompok penyokong pembangkang disepikan, bahkan sangat ekstrem pada dekad 80-an sehingga menimbulkan pecah belah dalam masyarakat akibat penindasan dan intimidasi.

Penghujung bulan Jun ini, genta akan dipalu, gerombolan pasukan “perang” PAS akan berpencak dan pastilah matlamat utama untuk memastikan Wisma Darul Iman kekal di bawah Kerajaan PAS selepas PRN. Kepimpinan PAS di semua peringkat wajib melengkapkan pakej kompetensi kepimpinan, menguasai akar umbi setiap ceruk kawasan pengundian.

Insya-Allah, Terengganu akan terus bersama gelombang hijau dan penolakan total kepada kerajaan PH-BN dalam pilihan raya negeri. Terengganu tanah barakah yang menyaksikan ratusan ulama besar menyumbang bakti, semenjak zaman Sheikh Muhamad Shariff al-Baghdadi, Tok Ku Pulau Manis, Tok Ku Paloh, Tok Ku Tuan Besar, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Haji Musa Minangkabau, Tuan Guru Haji Umar Siam, Tuan Guru Zainal Abidin sehinggalah ulama kontemporari, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang namanya mendunia. Insya-Allah teguh pertahan!

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
AJK PAS Pusat
AJK BPP Terengganu – HARAKAHDAILY 10/6/2023

- Advertisement -