Jawab guna data, tapi tidak realistik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mempersoalkan jawapan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengenai isu kenaikan harga barangan yang berdasarkan data dan tidak realistik.

- Advertisement -

Sebelum itu ketika menjawab soalan asal, Senator Fuziah Salleh menegur Siti Zailah yang dakwanya menggunakan perkataan yang tidak tepat ketika mengemukakan soalan.

Mengikut soalan asal, Siti Zailah bertanyakan usaha kementerian bagi menangani kenaikan harga barang yang semakin melampau.

Fuziah kemudian menyatakan berdasarkan data, tiada kenaikan harga barangan yang melampau, malah data menunjukkan ada penurunan.

Ini menyebabkan Siti Zailah membidas dengan berkata: “Saya kira data yang disebutkan tidak realistik. Kita lihat apa yang berlaku, keluhan rakyat di seluruh negara berdepan dengan kenaikan harga barang.

“Jadi walaupun teori kajian yang mengatakan harga barang semakin turun, tetapi di bawah (rakyat) seluruh negara berdepan dengan harga barang semakin meningkat apa lagi ditekan dengan nilai ringgit yang semakin menjunam terutama yang melibatkan barang import sama ada barang basah atau barang kering.”

Siti Zailah berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau kemudian meminta kerajaan menyatakan tindakan bagi menangani kenaikan harga barangan.

“Berapa tangkapan dan tindakan yang telah dibuat. Setakat ini, sejauh mana keberkesanan untuk memastikan supaya harga yang diberi kepada pengguna dapat dilaksanakan dengan yang terbaik,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -