Calon SPM 2022 peroleh A meningkat di Perlis

Ayub Ahmad (tengah) ketika mengumumkan keputusan bagi calon SPM 2022 Perlis di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis, Kangar pada hari ini, 8 Jun 2023.
- Advertisement -

KANGAR: Seramai 47 calon Sijil Pelajaran Malaysia 2022 berjaya memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) menunjukkan peningkatan berbanding 39 calon tahun 2021.

- Advertisement -

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Ayub Ahmad berkata, sebilangan besar calon SPM yang cemerlang itu mengambil sembilan hingga 11 mata pelajaran.

“Peratus lulus pada tahun ini juga meningkat sebanyak 4.98 iaitu 93.33 peratus berbanding 88.35 peratus pada tahun sebelum itu,” katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, Gred Purata Negeri (GPN) bagi keputusan SPM  2022 di Perlis mencatatkan 4.82 iaitu peningkatan sebanyak 0.17 berbanding 4.99 pada tahun lepas.

Sementara menurutnya, jurang pencapaian calon di bandar dan luar bandar juga meningkat sebanyak 0.06 mata Gred Purata Sekolah (GPS).

“Kita memperoleh jurang mata GPS iaitu 0.92 pada tahun ini berbanding 0.86 pada tahun lepas. Sebanyak sembilan buah sekolah berjaya mengekalkan pencapaian 100 peratus layak mendapat sijil,” katanya.

Seramai 3569 calon telah menduduki peperiksaan tersebut yang berlangsung pada 30 Januari hingga 15 Mac 2023. – HARAKAHDAILY 8/6/2023

- Advertisement -