KDN perlu kawal manipulasi kalimah Allah

Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mencadangkan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengawal penggunaan Kalimah Allah agar tidak dimanipulasi.

Menurutnya, kalimah Allah seperti maksud tafsir dalam surah al ikhlas adalah jauh berbeza dengan konsep triniti yang diamalkan dalam agama Kristian iaitu mempunyai anak, ibu dan bapa.

- Advertisement -

“Kini, timbul desakan supaya beberapa perkataan dalam agama Islam seperti solat, baitullah termasuk Allah SWT boleh digunakan oleh penganut agama lain.

“Sebab kalimah Allah ini, penafsirannya sendiri iaitu Allah SWT tidak ada setanding dengan-Nya, tidak beranak dan tidak diperanakkan, ia merupakan maksud surah al-Ikhlas.

“Mana mungkin satu agama (Kristian) yang memegang kepercayaan bahwa tuhan itu ada anak, ada bapa, ada ibu boleh menggunakan dengan sewenang-wenangnya kalimah Allah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Pencetakan Teks Al-Quran 2023 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ahmad Marzukh tegur Shamsul Anuar

Dalam pada itu Ahmad Marzuk turut menegur Timbalan Menteri KDN, Dato’ Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berhubung keputusan kerajaan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka melalui notis perberhentian yang telah difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 18 April 2023.

Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tidak pernah mengeluarkan keputusan agar kalimah Allah terbabit boleh digunakan oleh golongan bukan Islam.

“Jadi, kalau perkataan Allah sebegitu rupa sebenarnya penafsirannya, mana mungkin YB (Yang Berhormat) sebagai menteri yang ada dalam kabinet yang meluluskan untuk kerajaan merayu tentang keputusan ini.

“Tiba-tiba sekarang bila jadi Timbalan Menteri KDN ini dah setuju pula dengan apa yang dibuat oleh kerajaan hari ini,” katanya mengenai ahli parlimen Lenggong yang mewakili Umno dan merupakan bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli dalam kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu. – HARAKAHDAILY 22/5/2023

- Advertisement -