Kelantan dilayan seperti sekala

Federalisme di Malaysia

- Advertisement -

TERMA kerjasama ditekankan oleh Perdana Menteri semasa ucapan di Sambutan Aidil Fitri Madani di Kota Bharu Jumaat lalu adalah kontrak federalisme yang memayungi Perlembagaan Malaysia. Ia bukanlah perkara baharu tetapi barangkali boleh diambil sebagai ‘tazkirah’ yang diperbaharui sebutannya.

Tazkirah ini kebetulannya disebut hanya di Kelantan, tidak di sambutan negeri lain termasuk Pulau Pinang. Jika mahu dikatakan Kerajaan Negeri sukar memberikan kerjasama, buktinya projek ECRL Perdana Menteri ke-10 (PMX) telah menyatakan terima kasih atas kerjasama penuh kepada Kerajaan Negeri pada hari yang sama majlis sambutan Aidil Fitri.

Soal bekalan air, sebagaimana yang disebut oleh Anwar pada malam sambutan agak kontra dengan menterinya sehari sebelum. Anwar menukar nada kerjasama berdiplomasi sedangkan Nik Nazmi menggunakan lagak konfrontasi terhadap air Kelantan. Sama ada memang disengajakan atau sebahagian permainan politik dirancang antara Presiden PKR dan Naibnya untuk memunculkan hero orang nombor satu, tidaklah dipastikan.

Jika Pulau Pinang terus diberikan dana, diumumkan tambahan demi tambahan, Kelantan sudah seperti sekala janjinya, Kerajaan Persekutuan akan mencari dana dan menuntut Kerajaan Negeri memberikan kerjasama. Lalu seperti sekala jugalah kita menunggu dan menunggu, sedang rakyat menanti, kita usahakan segenap kudrat kuasa yang ada menggunakan dana kita yang ada.

Federalisme di Kelantan, di mana kesempurnaan keadilan? Apabila Perdana Menteri hanya umumkan projek yang telah berjalan atau diluluskan semasa Kerajaan terdahulu atau hanya sekadar mempersembahkan angka peruntukan sedia ada kepada majlis agama yang kebiasaannya hanya disampaikan oleh Menteri Agama. Tiada yang baharu. Masih seperti sekala.

Lalu berdirilah kita, rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang, orang datang cara baik kita sambut, mahu ‘bergocoh’ kita tidak lari. Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 16/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -