My observation: Sedikit catatan kepada Ketua Pengarah J-KOM

- Advertisement -

TAHNIAH Dr. kerana dilahirkan dalam keluarga PAS. Telah sampai usaha serta seruan PAS ke pintu rumah keluarga Dr. Besar pengorbanan generasi awal PAS yang membina dan mengembangkan perjuangan parti ini.  

Cuma, Dr. mungkin kurang memberikan fokus yang baik dalam Usrah serta Liqa Fikri ketika bersama PAS. PAS tidak berubah. PAS kekal dengan dasar Islam. Apa jua usaha yang menguntungkan politik Islam akan menjadi pertimbangan kepada langkah-langkah politik PAS.  

Dr., yang berubah adalah pemimpin Umno. Jika dahulu Umno ditubuhkan untuk perjuangan agama, bangsa, dan tanah air namun kini tidak lagi.  

Pemimpin Umno sanggup bersama mereka yang ingin menubuhkan negara sekular, memusuhi secara ekstrem usaha pensyariatan Islam melalui jalan legislatif dan bercita-cita mahu berbagi sama rata hak keistimewaan orang-orang Melayu kepada semua kaum. 

Dr., yang berubah juga adalah PKR. Jika dahulu mereka berjuang untuk agenda reformasi namun kini mereka khianat usaha-usaha reformasi tersebut.  

Jika dahulu PKR berjuang untuk menjatuhkan pemimpin korup dalam Umno namun kini PKR pula yang menghembus ‘oksigen’ kepada nyawa politik pemimpin Umno yang korup.  

Apa pula ‘observation’ Dr. terhadap PKR dan Umno yang kini terlalu pragmatis dan hanya berjuang demi kepentingan politik pemimpin parti mereka?  

PAS bukan parti perkauman, yang ditolak PAS adalah assabiyah jahiliyyah. PAS konsisten dengan dasar politik Islam yang mengutamakan kaum majoriti untuk memimpin seperti mana pelantikan Khalifah Abu Bakar R.A daripada kaum Quraish, kaum yang paling majoriti dalam kalangan Muslim selepas wafatnya Baginda S.A.W.  

Tidak pelik bagi masyarakat khususnya golongan profesional dan cerdik pandai untuk menyokong PAS kerana perjuangan PAS jelas demi kepentingan politik Islam berbanding PKR dan Umno yang kini telah hilang identiti perjuangan parti mereka.  

PAS sentiasa terbuka dengan kritikan. Bahkan PAS sentiasa menjemput penganalisa-penganalisa luar khususnya para cendekiawan negara untuk memberikan maklum balas terhadap perjuangan PAS pada hari ini.  

Disebabkan itu, PAS berjaya menjadi parti tunggal yang paling berpengaruh pada hari ini.  

1. PAS mentadbir 4 Kerajaan Negeri.  
2. PAS mempunyai 4 Menteri Besar.  
3. PAS mempunyai 43 Ahli Parlimen.  
4. PAS mempunyai 117 ADUN.  
5. PAS mempunyai 7 Senator.  

Sebenarnya, ‘serangan’ (baca: kritikan) rakyat di luar sana ke atas Dr. adalah sikap Dr. yang gagal membuat perbandingan yang adil dan cermat atas isu-isu yang berlaku khususnya dalam isu air di Kelantan.  

Susahkah bagi seorang bekas pensyarah untuk beramal dengan disiplin metodologi kajian di universiti dalam menilai sesuatu isu dengan dengan adil? Adakah cara berfikir ‘Prof’ Dr. telah rosak setelah bersama Perdana Menteri ke-10 (PMX) dan menjadi Ketua Pengarah J-KOM? Tidak malukah Dr. kepada bekas pelajar Dr. ketika di universiti suatu masa dahulu?  

Pada saya ‘Prof’ Dr. Agus telah gagal menjadi Ketua Pengarah J-KOM untuk rakyat Malaysia. Dia hanya menjadi KP J-KOM kepada PMX dan Zahid Hamidi. Beliau wajar letak jawatan secara terhormat. 

Sekian. 

ZURK AHMAD 
Ketua Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat 
27 April 2023 – HARAKAHDAILY 27/4/2023

- Advertisement -
- Advertisement -