
GEORGE TOWN: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai kepimpinan DAP Pulau Pinang sepatutnya turut menumpukan pembangunan di kawasan Balik Pulau yang dianggap sudah lama terpinggir.
Seorang aktivis masyarakat, Mahdzir Ibrahim berkata, kawasan itu lebih kritikal dan memerlukan usaha pembangunan dilaksanakan kerajaan negeri.
Bagaimanapun katanya, kerajaan yang mentadbir Pulau Pinang sekarang lebih berminat terhadap pembangunan di Georgetown, Bukit Mertajam dan selatan Pulau Pinang.
“Sedangkan kawasan Balik Pulau terus terpinggir dalam arus pembangunan,” katanya dalam kenyataan di laman sosialnya
Dalam pada itu, semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dilaporkan mendakwa laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) projek Pulau Selatan Pulau Pinang telah diluluskan Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas sekian lama menunggu.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaan akan bermula di Pulau A untuk membina Green Tech Park dengan semua 71 syarat disenaraikan JAS perlu dipatuhi.

Sebelum ini, pelbagai pihak membantah projek tersebut kerana akan menjejaskan ekosistem dan kesan paling besar akan ditanggung nelayan sehingga ke Perak dan Kedah.
Sementara itu, sebuah laman berita melaporkan bahawa golongan nelayan yang bakal terkesan dengan projek penambakan Penang South Islands (PSI) melahirkan rasa kecewa kerana tidak menerima jawapan daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebelum kelulusan EIA dibuat.
Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Zakaria Ismail berkata pihaknya masih menunggu jawapan daripada Anwar berhubung projek terbabit.
“Susulan kelulusan tersebut, kami akan mengemukakan rayuan kepada JAS kerana nelayan akan berdepan dengan krisis sumber protein sekiranya projek itu diteruskan,” katanya sepertimana dilaporkan oleh MalaysiaNow.

Pada 2019, ketika Anwar mengadakan pertemuan dengan nelayan melahirkan hasrat mahu bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mencari penyelesaian berhubung krisis yang dihadapi golongan nelayan.
Lebih 6,000 nelayan dijangka terkesan dengan projek itu yang membabitkan nelayan Pulau Pinang, selatan Kedah dan utara Perak.
Malah menurut laporan portal terbabit, Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik semasa berkempen pilihan raya umum lepas menegaskan bahawa PKR tidak menyokong usaha itu.
“PKR berusaha memujuk DAP dan kerajaan negeri untuk tidak meneruskan projek berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/4/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!