Kanada sokong penduduk Sudan

Kepulan asap di Khartoum, Sudan, pada 15 April 2023 di tengah-tengah pertempuran angkatan tentera Sudan dan kumpulan paramilitari Pasukan Sokongan Rapid (RSF). (FOTO: Instagram/Reuters)
- Advertisement -

OTTAWA: Kerajaan Kanada akan memperkenalkan langkah imigresen baharu untuk menyokong penduduk sementara Sudan yang kini berada di negara itu dan mungkin tidak dapat pulang ke negara mereka yang kini dalam keadaan hura-hara.

Pertempuran yang meletus antara angkatan tentera Sudan dan kumpulan paramilitari Pasukan Sokongan Rapid (RSF) pada 15 Apr lalu dan telah membunuh ratusan penduduk, melumpuhkan perkhidmatan hospital dan perkhidmatan awam lain serta mengubah kawasan kediaman sebagai zon perang, lapor Reuters.

- Advertisement -

Sebaik sahaja langkah baharu Kanada yang diumumkan oleh Menteri Imigresen Kanada, Sean Fraser dalam kenyataan pada Isnin (24 Apr) itu dilaksanakan, warga Sudan terbabit boleh memohon untuk melanjutkan status mereka di negara itu dan berpindah antara aliran sementara, membolehkan mereka meneruskan belajar, bekerja atau melawat keluarga secara percuma.

“Bagi memudahkan permohonan imigresen bagi mereka yang masih berada di Sudan supaya mereka boleh melakukan perjalanan sebaik sahaja ia selamat untuk berbuat demikian, kerajaan Kanada  juga akan mengutamakan pemprosesan permohonan kediaman sementara dan tetap yang telah siap dalam sistem daripada orang yang masih berada di negara ini.

“Ini termasuk permohonan visa pelawat untuk ahli keluarga terdekat warga Kanada dan pemastautin tetap Kanada yang layak,” ujar kenyataan tersebut. 

Kanada berkata ia juga akan mengetepikan bayaran pasport dan dokumen perjalanan penduduk tetap untuk warganegara dan penduduk tetap Kanada di Sudan yang ingin pergi.

Terdahulu, Kanada berkata pada Ahad bahawa ia telah menggantung sementara operasi di Sudan dan diplomat Kanada akan bekerja sementara dari lokasi selamat di luar negara itu.

Sementara Amerika Syarikat pada Isnin berkata bahawa puak yang berperang di Sudan bersetuju dengan gencatan senjata selama 72 jam manakala negara-negara Barat, Arab dan Asia berlumba-lumba untuk mengeluarkan rakyat mereka dari negara itu. – HARAKAHDAILY 25/4/2023

- Advertisement -