Rumah Terbuka Malaysia Madani ada kaitan PRN

- Advertisement -

TUMPAT: Kerajaan Kelantan menyambut baik penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri yang akan diadakan di negeri itu, Terengganu dan Kedah.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Dato Ahmad Yakob berkata, pihaknya tiada halangan dan terbuka atas dasar ia penganjuran oleh Kerajaan Persekutuan dan sangat berbesar hati menerima jemputan.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan mungkin penganjuran program terbabit ada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Tapi terpulanglah kepada pihak penganjur berhubung tujuan sebenar penganjuran itu. Kita dapat surat daripada (Kerajaan Persekutuan) dan kita tiada halangan sebaliknya bersetuju kerana persiapan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan kita dijemput bersama.

“Kami difahamkan penganjuran program tersebut membabitkan enam negeri yang belum mengadakan PRN. Mungkin ada la tujuan tu, terpulang atas dia, kita tak boleh nak jangka.

“Kita sebagai kerajaan negeri, terimalah dan kita terbuka atas dasar (Kerajaan Persekutuan) dan negeri… walau dari segi parti berbeza tetapi dari segi kerajaan, kita hormat,” katanya ketika ditemui di majlis rumah terbukanya di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu di sini, hari ini.

Hampir 3,000 tetamu hadir pada majlis rumah terbuka berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan pemilihan tiga negeri pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri tahun ini ada kaitan dengan PRN.

Sebaliknya, Perdana Menteri dilaporkan berkata, penganjuran majlis sama yang bakal dihadiri ribuan rakyat turut akan diadakan di Selangor, negeri ditadbir parti kerajaan. – HARAKAHDAILY 23/4/2023

- Advertisement -