Perayaan itu membesarkan Tuhan yang sebenar

- Advertisement -

‘PERAYAAN’ dalam al-Quran

Di dalam Bahasa Arab, perayaan bermaksud العيد. Allah S.W.T menyebut perkataan ini di dalam Surah al Maidah ayat 114. FirmanNya;

- Advertisement -

قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا أَنزِلْ عَلَيْنَا مَائِدَةً مِّنَ السَّمَاءِ تَكُونُ لَنَا عِيدًا لِّأَوَّلِنَا وَآخِرِنَا وَآيَةً مِّنكَ ۖ وَارْزُقْنَا وَأَنتَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

“Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi rezeki”.

Imam Ibn Kathir menukilkan huraian daripada As Suddiy R.A bahawa Nabi Isa A.S mengharapkan agar hari diturunkan rezeki itu sebagai perayaan yang diagungkan oleh mereka. 

Al Baghawy pula mentakrifkan perayaan itu sebagai hari gembira. Iaitu Nabi Isa A.S berdoa agar diturunkan hidangan, dan hari tersebut akan dirayakan oleh mereka. 

Jika kita meneliti ayat Surah al-Maidah bermula 111 hingga 115, kita akan dapati bahawa permohonan supaya diturunkan hidangan yang akan dirayakan itu, bagi menunjukkan kekuasaan Allah S.W.T.

Sebab itulah di hujung ayat 114 itu diterjemahkan dengan;

“… sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi Rezeki”.

Perayaan dalam Islam dengan mengagungkan Allah S.W.T

Kita perlu menyedari hakikat bahawa setiap kaum dan agama mempunyai perayaan masing-masing, begitu juga dengan Islam. Ini sebagaimana disebut oleh Nabi S.A.W kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq menerusi sabdanya: 

يَا أَبَا بَكْرٍ، إنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا، وَهَذَا عِيدُنَا

“Wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada perayaan, dan inilah perayaan kita.”

(Riwayat al Bukhari)

Di dalam Hadis yang lain menggambarkan bahawa perayaan Aidilfitri dan Aidil Adha merupakan salah satu daripada syiar Islam:

عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَالَ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ قَالُوا كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

“Daripada Saidina Anas R.A berkata, sewaktu Rasulullah S.A.W tiba di Madinah, masyarakat Madinah mempunyai dua hari yang mereka rayakan dengan permainan. Lalu Nabi S.A.W bertanya : Sambutan apakah dua hari ini? Mereka menjawab : Kami bermain (menyambut)  pada dua hari itu (hari Nairuz dan Mahrajan) pada  zaman Jahiliyyah. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda, sesungguhnya Allah S.W.T telah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik untuk dirayakan iaitu Hari al Adha dan Hari al Fitri.”

(Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan Hadis ini, kita memahami bahawa masyarakat Madinah sudah pun menyambut perayaan yang mereka sambut secara adat sebelum penghijrahan Baginda S.A.W. Namun, setelah Nabi S.A.W berhijrah ke situ, Nabi S.A.W memperkenalkan perayaan Aidil Adha dan Aidil Fitri.

Di sini mengajar kita supaya perayaan agama Islam tak boleh disamakan dengan perayaan agama lain. Umat Islam sentiasa diajar supaya mempunyai jati diri, hatta dalam sambutan perayaan sekalipun. 

Sebab itulah perayaan di dalam Islam adalah dengan membesar dan mengagungkan Allah S.W.T. Takbir raya merupakan salah satu Sunnah Nabi S.A.W yang melambangkan syiar Islam dalam menyambut perayaan. 

Allah S.W.T berfirman di dalam al-Quran;

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

(al-Baqarah: 185)

Antara hadis yang digunakan untuk beramal, sepertimana Sabda Nabi S.A.W:

زَيِّنُوا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِيرِ

“Hiasilah perayaan kamu dengan takbir (membesarkan Allah S.W.T).”

(Riwayat at Thobroni)

Perayaan bermitos yang mengagungkan dewa-dewa

Sepertimana yang dinyatakan di awal tadi, perayaan sememangnya disambut oleh semua golongan. Ada perayaan yang disambut semata-mata adat, ada pula perayaan yang bersangkutan dengan kepercayaan masing masing.

Perayaan perayaan tersebut rata-rata mengagungkan kepercayaan atau dewa mereka. Antaranya;

1. Berdasarkan Hadis yang dinyatakan di awal tadi, sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah, masyarakat di situ telah merayakan Hari Nairuz dan Mahrajan. Perayaan ini bagi menyambut tahun baru mengikut kalendar Majusi. 

Perayaan ini berasal daripada kepercayaan Majusi (Zooroaster). Majusi adalah ajaran yang bertitik tolak daripada mengagungkan Dewa Ahura Mazda, termasuk menganggap Zoroaster sebagai tuhan. [1]

2. Dikatakan bahawa Kristian menyambut Krismas bersempena kelahiran Nabi Isa A.S. Namun apabila diteliti semula, ia berasal daripada sambutan sempena kelahiran Dewa Matahari yang dinamakan Mithra, yang menjadi kepercayaan orang-orang Pagan. 

Namun, sejak zaman Pope Julius I, beliau telah menetapkan tarikh 25 Disember itu sebagai tarikh perayaan sempena kelahiran Nabi Isa. Tindakan ini dilihat cuba meresapkan fahaman Paganisme ke dalam Kristian. [2]

3. Perayaan Songkran (pesta air) yang dirayakan oleh penganut Buddha bermula dengan kepercayaan terhadap Dewa Kabil Maha Phron yang memancung kepalanya sendiri.

Kepala itu dianggap berbahaya, dan menyebabkan bumi kepanasan jika ia turun ke bumi. Lalu, ketika mana perarakan kepala itu dibawa ke bumi, mereka akan menyimbah air bagi menyejukkan bumi. [3]

4. Pongal adalah satu perayaan yang disambut pada hari pertama bulan Thai (pada 14 Januari setiap tahun) bagi meraikan Dewa Surya yang merupakan sumber tenaga dan penyumbang utama bagi pertanian.

Pelbagai cerita dibawakan berkenaan Dewa Surya yang mempunyai kesan terhadap sambutan Pesta Pongal ini. Dewa Surya mempunyai ramai anak, antaranya Dewa Shani yang dinisbahkan dengan Planet Saturn. Semasa Shanti lahir, dikatakan berlaku gerhana matahari. 

Pesta Pongal juga adalah meraikan fasa-fasa awal kitaran pertanian. Ia adalah masa bagi mendoakan musim menanam padi yang produktif dan musim menuai yang baik di masa hadapan. [4]

Kesimpulan

Perayaan dalam Islam sepatutnya semakin mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T, dan seterusnya melahirkan rasa syukur.

FirmanNya;

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”

(al-Baqarah: 185)

Imam Ibn Kathir menghuraikan ayat ini;

إذا قمتم بما أمركم الله من طاعته بأداء فرائضه ، وترك محارمه ، وحفظ حدوده ، فلعلكم أن تكونوا من الشاكرين بذلك

“Apabila kamu dapat laksanakan apa yang Allah S.W.T perintahkan, dengan mentaatinya dan melaksanakan kewajipannya, meninggalkan apa yang diharamkanNya, memelihara sempadanNya, maka semoga.”

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak
PAS Perak – HARAKAHDAILY 21/4/2023

Rujukan:

[1] https://iranicaonline.org/articles/ahura-mazda 
[2] https://www.history.com/topics/christmas/history-of-christmas 
[3] https://www.facebook.com/1825017094438836/posts/pfbid02CV6jfR3EdvVt4R6qY9g5bgdZdNHtXEN34ip8rFEVrM1LbuE6MzXUoGAV8M114qdxl/?d=n 
[4] https://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar/3062-al-afkar-39-muslim-menyertai-pesta-pongal 

- Advertisement -