Manis berpada di hari raya

- Advertisement -

KEDATANGAN Syawal dinantikan semua umat Islam bagi meraikan kemenangan. Setelah sebulan kita disyariatkan berpuasa, tibanya 1 Syawal kita diharamkan untuk meneruskan ibadat tersebut. 

Kerana itu Rasulullah mengajar kita untuk menjamah makanan sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri sepertimana Anas R.A berkata:

- Advertisement -

أَنَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَخْرُجُ يوم الفطر حتى يأكل تمرات ويأكلهن وترا

“Bahawasanya Rasulullah S.A.W tidak akan keluar rumah pada hari raya Aidilfitri melainkan setelah Baginda memakan beberapa biji tamar, dan Baginda memakannya dalam bilangan yang ganjil.”

(Riwayat al-Bukhari (953))

Dalam keseronokan meraikan kedatangan Syawal dengan juadah yang pelbagai, seharusnya kita bertimbang rasa kepada sistem penghadaman kita yang telah dilatih selama sebulan untuk bekerja secara sistematik. 

Pengambilan gula yang berlebihan di musim perayaan meningkatkan risiko obesiti, kencing manis, masalah jantung dan beberapa jenis kanser. 

Gula adalah karbohidrat yang dibahagikan kepada dua jenis iaitu karbohidrat kompleks dan sederhana.

Karbohidrat kompleks terdiri daripada gabungan beberapa jenis karbohidrat sederhana. Lebih kompleks suatu jenis karbohidrat, lebih masa diperlukan oleh badan untuk mencernakannya. Secara tidak langsung ia memberi kesan yang rendah kepada paras gula di dalam darah jika diambil di dalam kuantiti yang tidak berlebihan. 

Karbohidrat sederhana mudah dicerna dan cepat dilepaskan ke dalam aliran darah. 

Ia terdiri daripada;

1. Glukosa merupakan sumber utama tenaga kita. Apabila paras glukosa di dalam darah meningkat, insulin dirembeskan bagi membolehkan gula ini memasuki sel badan bagi menghasilkan tenaga. 

2. Fruktosa adalah gula bersumberkan antaranya dari buah-buahan dan madu. Gula jenis ini diserap secara terus oleh aliran darah tanpa meningkatkan insulin atau paras gula di dalam darah. 

3. Sukrosa atau gula pasir adalah gabungan dari gula glukosa dan fruktosa. Kandungan glukosa di dalam gula jenis ini meningkatkan paras gula dalam darah seterusnya menyebabkan perembesan insulin. 

4. Laktosa adalah gula di dalam susu. Gula jenis ini terdiri daripada glukosa dan galaktosa. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pengambilan gula sukrosa tidak melebihi 30g (7 kiub) sehari bagi orang dewasa dan tidak melebihi 24g (6 kiub) bagi kanak-kanak. 

Makanan dan minuman yang mengandungi paras glukosa yang tinggi perlu diambil di dalam kuantiti yang sederhana. Ia penting bagi memastikan paras insulin di dalam darah kita terkawal dan badan tidak menyimpan lebihan gula sebagai lemak samada di dalam hati atau sel lemak. 

Pengambilan buah-buahan, sayuran dan kekacang yang merupakan sumber utama serat dan vitamin dapat membantu mengekalkan kesimbangan diet kita. Begitu juga dengan pengambilan air tanpa gula atau perasa tiruan. 

Mudah-mudahan madrasah Ramadan meningkatkan ketaqwaan dan mendidik kita untuk lebih menghargai nikmat kesihatan yang dipinjamkan Allah. 

Selamat hari raya Aidilfitri. Semoga amalan kita diterima oleh Allah. 

DR HANI’AH ABDULLAH
Alderley Park
Kelab PAS UK – HARAKAHDAILY 21/4/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -