Sambut Aidilfitri hanya pagi raya sahaja

Petugas syarikat Andalusia Travel & Tours.
- Advertisement -

MEKAH: Seramai 2.7 juta umat Islam membanjiri Masjidil Haram untuk menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri pada pagi ini.

- Advertisement -

Solat sunat Aidilfitri bermula jam 6.30 pagi waktu tempatan diikuti khutbah hari raya selama setengah jam.

Seramai 780 orang jemaah umrah daripada syarikat Andalusia Travel & Tours turut menyambut Aidilfitri di Tanah Suci, Mekah, hari ini manakala 350 orang pula menyambut Aidilfitri di Madinah.

Wakil Harakah menemui mutawif, Ustaz Khairul Anuar Hassan di dewan SR, hotel Al-Oloyan Al- Haram bagi mendapatkan maklumat berhubung jemaah umrah Andalusia.

“Syukur kepada Allah SWT, kita dapat menjalani ibadah puasa. Sebenarnya ramai nak datang ke Tanah Suci untuk berpuasa dan berhari raya di sini.

“Sebenarnya bagi orang Arab di sini, hari raya ini adalah 30 hari Ramadan. Untuk sambutan eid yang telah disyariatkan kepada kita adalah pada pagi raya sahaja.

“Sama ada di Mekah atau Madinah atau di keseluruhan negara Arab, sambutan hari raya hanya pagi raya itu sahaja. Kemudian kehidupan mereka selepas pagi raya seperti biasa,” katanya yang telah menjadi mutawif selama 8 tahun.

Menurut beliau yang seronoknya orang Nusantara akan bawa budaya seperti bermaaf-maafan.

Katanya, Andalusia akan menyediakan makanan dari Malaysia untuk jemaah seperti ketupat palas, lontong, rendang, lodeh.

Beliau berkata, ada jemaah yang melaksanakan umrah sebulan, tiga minggu ada yang ambil pertengahan dan akhir Ramadan.

Pada malam 1 Syawal, jemaah umrah bertakbir dipimpin oleh mutawif daripada Andalusia. Seramai 30 orang mutawif memimpin jemaah umrah sepanjang berada di Mekah dan Madinah.

Jemaah umrah yang datang dari pelosok dunia antaranya Malaysia, Indonesia, Morocco, Pakistan, Tunnisa meraikan Aidilfitri dengan melaungkan takbir.

Selain Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menyambut 1 Syawal pada hari ini.

Menurut Jawatankuasa Pemerhati di Balai Cerap Tumair, berikutan anak bulan Syawal telah dilihat, Ramadan kali ini hanya berlangsung selama 29 hari.

Mahkamah Agung negara beraja itu mengesahkan penampakan itu dan mengumumkan Jumaat sebagai permulaan hari raya, menurut portal berita Arab News. – HARAKAHDAILY 21/4/2023

- Advertisement -