Imam masjid di New Jersey parah ditikam

Wajah suspek yang berjaya ditahan selepas terbabit dalam serangan pisau ke atas Imam masjid di Paterson, New Jersey ketika solat Subuh pada 9 April 2023. (FOTO: Pejabat Pendakwa Raya New Jersey/Arab News)
- Advertisement -

CHICAGO: Imam sebuah masjid di  bandar Paterson, New Jersey cedera parah akibat serangan pisau oleh  seorang suspek yang menyertai kira-kira 200 jemaah untuk solat Subuh.

Pendakwa raya Paterson, New Jersey berkata, mangsa, Imam Sayed Elnakib, 65, dari Masjid Omar, di 501 Getty Avenue, diserang oleh suspek yang berlutut bersama jemaah lain semasa solat di masjid itu pada subuh Ahad (9 Apr), waktu tempatan.

- Advertisement -

Imam Elnakib segera dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Saint Joseph di Paterson untuk rawatan kecederaan  yang diklasifikasikan sebagai ‘tidak membawa maut’, lapor Arab News.

Sementara, pejabat pendakwa  tempatan berkata bahawa suspek segera ditahan di masjid berkenaan yang dikenali sebagai Serif Zorba. 

Jemaah lain yang berada di lokasi kejadian berkata bahawa Zorba telah pergi ke masjid  itu banyak kali tetapi bukan ahli masjid tersebut.

Semasa kejadian, Zorba meluru ke arah Imam Elnakib semasa dia mengimamkan solat kira-kira jam 5.37 pagi. 

Selepas menikam Imam Elnakib beberapa kali, Zorba berpaling untuk melarikan diri dengan berlari di celah-celah jemaah lain yang dikatakan polis telah segera menahannya sehinggalah polis tiba di lokasi kejadian.

Masjid Omar di bandar Paterson, New Jersey lokasi kejadian Imam Elnakib diserang dengan pisau ketika mengimankan jemaah solat Subuh pada 9 Apr 2023. (FOTO: United States.K.News. MEDIA)

Pendakwa Raya Passaic County,  Camelia M. Valde berkata, sebaik tiba, anggota polis menemui suspek berusia 32 tahun itu di dalam masjid yang ditangkap oleh jemaah lain.

“Serif Zorba akan didakwa dengan sabit kesalahan cubaan membunuh tahap pertama; memiliki senjata untuk tujuan yang menyalahi undang-undang, tahap ketiga; dan memiliki senjata yang menyalahi undang-undang, tahap keempat,” tambahnya.

Menurut Valdes lagi, jika sabit kesalahan, Zorba berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, yang mana atas kesalahan cubaan membunuh tahap pertama ialah 10 hingga 20 tahun di penjara negeri New Jersey dengan 85 peratus daripada tempoh itu akan meringkuk di dalam penjara sebelum kelayakan parol, menurut ‘akta tiada pembebasan awal’ dan lima tahun parol pengawasan selepas dibebaskan.

“Tuduhan untuk memiliki senjata yang menyalahi undang-undang boleh menambahkan lagi enam tahun tambahan kepada hukuman itu,” katanya. 

Zorba hadir di Mahkamah Pemprosesan Kehakiman Pusat di Paterson Perbicaraan itu diadakan di hadapan hakim mahkamah atasan New Jersey pada petang Isnin (10 Apr), yang mana pertuduhan difailkan secara rasmi dan ‘penahanan praperbicaraan’ telah diberikan, menafikan pembebasan ikat jamin suspek.

Dalam pada itu, pihak polis berkata, Imam Elnakib yang  telah berkahwin dan bapa kepada tiga anak lelaki itu  dijangka pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

Rakaman litar tertutup menunjukkan suspek (dalam bulatan putih) turut menyertai jemaah solat Subuh yang diimamkan oleh Imam Elnakib. (FOTO: CBS News)

Polis tambahan kawal masjid

Datuk Bandar Paterson, Andre Sayegh, yang beragama Roman Katolik dari keturunan Arab-Amerika, dilaporkan telah melawat Imam Elnakib di hospital pada pagi Isnin (10 Apr).

Sayegh memberitahu pemberita pada sidang media bahawa beliau akan menugaskan polis tambahan bagi berkawal di semua masjid di wilayah itu untuk memastikan keselamatan orang ramai pada baki hari Ramadan ini.

“Anda tidak perlu takut untuk berdoa, anda harus berasa selamat untuk berdoa,” kata Sayegh.

Ahli Majlis Paterson, Al Abdel-aziz, yang menyertai jemaah di masjid pada malam Ahad (9 Apr) untuk berdoa untuk kesihatan dan kesembuhan sepenuhnya buat Imam Elnakib.

“Saya sangat sedih mendengar kejadian tikaman yang berlaku semasa solat di masjid Omar awal pagi ini, dan hati saya terharu kepada semua orang yang terjejas oleh peristiwa tragis ini,” tulis ahli majlis Abdel-aziz di laman Facebooknya.

Detik sejurus suspek (bulatan merah) bangun dar barisan jemaah di Masjid Omar sebelum menyerang Imam Elnakib. (FOTO: Aaj English TV)

“Walaupun tidak jelas apa yang mendorong penyerang, tidak ada justifikasi untuk sebarang jenis keganasan, terutamanya dalam ruang suci (masjid) ini.

“Saya berasa lega apabila mendengar bahawa Imam Sayed Elnakib berada dalam keadaan stabil, dan mendoakan agar beliau sembuh sepenuhnya dan cepat. Harap maklum bahawa fikiran dan doa saya bersama dia dan keluarganya semasa masa yang sukar ini.” tambahnya.

Menurutnya lagi, sebagai sebuah komuniti, adalah penting untuk semua bersatu untuk menyokong satu sama lain dan mengecam semua bentuk kebencian dan keganasan. 

“Saya menggalakkan semua orang untuk menghubungi satu sama lain untuk keselesaan dan sokongan, dan berusaha ke arah mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra untuk semua yang memasuki masjid anda,” ungkapnya.

Dari segi populasi, hampir satu pertiga daripada 158,000 keseluruhan penduduk Paterson, di New Jersey itu adalah beragama Islam dari keturunan Arab. – HARAKAHDAILY 11/4/2023

- Advertisement -