Mesin ATM: Bandar dan luar bandar tidaklah sama

- Advertisement -

RAMAI dalam kalangan netizen yang ‘mempersendakan’ upacara perasmian mesin pengeluaran wang (ATM) di sebuah stesen minyak, di daerah Besut, Terengganu.

- Advertisement -

Bagi kita yang tinggal di bandar mahupun pinggir bandar, akses kepada mesin ATM dan cawangan bank yang berdekatan dianggap sebagai perkara ‘kecil’ yang tidak perlu dicari, apatah lagi diminta untuk disediakan.

Namun bagi penduduk di daerah terceruk, perkara ini adalah sebaliknya.

Daerah Besut, samalah seperti daerah Bachok, adalah kawasan luar bandar yang majoriti penduduknya adalah petani dan nelayan, warga emas dan golongan miskin.

Maka tidaklah mengejutkan apabila di Bachok, antara perkara yang diminta oleh pengundi dalam PRU15 yang lalu, khususnya dalam kalangan pengundi muda, adalah untuk diwujudkan cawangan bank di Bachok, dan perbanyakkan mesin ATM di Bachok.

Ya, itulah antara perkara ‘besar’ yang diminta kepada saya untuk diusahakan.

Teringat ketika kecil dahulu, di pekan Bachok ada sebuah cawangan Maybank yang kecil, namun telah pun ditutup atas kekangan operasi dan penstrukturan institusi perbankan (downsizing).

Secara bergurau saya sebutkan, “Di bandar pun sekarang banyak cawangan bank ditutup, sebab bank mahu kecilkan operasi dan hadkan urusan kaunter, semuanya untuk jimatkan kos dan online”.

Namun dalam hati, saya amat memahami kehendak dan keperluan mereka, apatah lagi aktiviti perniagaan dan pelancongan di Bachok semakin rancak, di samping bagi menampung pertambahan penduduk dan pelajar setelah UMK dan IKTBN dibuka di Bachok.

Di Bachok, pilihan yang ada kepada lebih 160,500 penduduk Bachok hanyalah beberapa cawangan institusi kewangan ‘komuniti’ seperti BSN, Bank Rakyat, AgroBank dan Tabung Haji, serta sembilan buah mesin ATM.

Jika hendak berurusan dengan cawangan bank ‘komersil’ seperti Maybank, CIMB, dan Bank Islam, penduduk perlu ke Kota Bharu atau Kubang Kerian, dengan jarak perjalanan sekitar 45 minit hingga 1 jam.

Maka pastinya besar hati penduduk kampung, termasuklah pemilik stesen minyak dan pegawai bank yang terlibat dalam menyediakan sebuah mesin ATM bagi kemudahan penduduk, walaupun bukan pembukaan cawangan bank, bagi memudahkan urusan seharian.

Justeru peringatan kepada diri saya, mungkin perkara yang dianggap ‘kecil’ di mata kita, boleh jadi ‘besar’ di mata pihak yang lain. Maka marilah kita bersyukur dengan apa yang dimiliki, dan janganlah kita merendahkan pihak lain yang berusaha untuk memiliki.

SYAHIR SULAIMAN
Ahli Parlimen Bachok – HARAKAHDAILY 11/4/2023

- Advertisement -