Kastam rampas rokok seludup hampir RM1 juta

- Advertisement -

TUMPAT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 900,040 batang rokok seludup pelbagai jenama yang bernilai hampir RM1 juta termasuk cukai.

- Advertisement -

Rampasan itu diperolehi melalui tiga serbuan berasingan pada malam Selasa lalu membabitkan seorang lelaki berusia 26 tahun yang mengambil upah membawa bekalan rokok itu dari selatan tanah air.

Pengarah Kastam negeri, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata suspek ditahan dalam serbuan di tepi Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Gong Stopa, bersama sebuah kereta jenis Perodua Bezza membawa kira-kira 100 karton rokok seludup.

Katanya, semua stok rokok terbabit dijumpai di tempat duduk penumpang serta ruang penyimpanan di bahagian belakang kenderaan.

“Siasatan mendapati suspek menerima upah RM15 untuk setiap satu peti rokok yang dibawa mengandungi 100 karton,” katanya pada sidang media di pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor di sini semalam.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu membawa kepada dua serbuan susulan masing-masing di Pasir Puteh dan Machang, membabitkan dua rumah yang disyaki dijadikan sebagai transit penyimpanan rokok seludup sebelum diagihkan untuk pasaran tempatan.

Menurutnya pada serbuan di rumah tidak bernombor di Kampung Gong Datuk Pasir Puteh, sejumlah 28,800 batang rokok seludup dirampas, manakala 850,700 batang rokok sama dirampas dalam serbuan di Taman Sri Machang, dekat Machang.

“Modus operandi digunakan dengan membawa masuk rokok menggunakan kenderaan penumpang dengan jumlah sedikit dan menyimpan di lokasi transit sebelum diedarkan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) dan 135(1)(e) Akta Kastam 1967. – HARAKAHDAILY 11/4/2023

- Advertisement -