Zakat: Perjuangan Abu Bakar As-Siddiq

Ustaz Syarhan Humaizi muncul dalam program Takzirah Zohor Ramadan anjuran BAKKAH di Kuala Lumpur pada hari ini, 10 April 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 43: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

”Demikian antara petikan tazkirah yang disampaikan oleh Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Syarhan Humaizi yang bertajuk, Zakat: Perjuangan Abu Bakar As-Siddiq.  

- Advertisement -

Beliau muncul dalam program Takzirah Zohor Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) secara langsung dari pejabat Harakah di Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat, di sini, hari ini, yang boleh diikuti melalui Facebook Harakahdaily dan Facebook TV PAS. 

Ustaz Syarhan menjelaskan bahawa solat dan zakat merupakan kewajiban yang keduanya harus dilakukan bersama, tidak secara terpisah. 

“Membayar zakat merupakan kefarduan yang telah disyariatkan pada tahun kedua, setelah Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Kota Madinah. 

“Zakat ialah satu daripada rukun Islam kelima. Keengganan membayar zakat boleh membawa kepada hukuman bunuh atau mereka juga dipaksa membayar zakat oleh pemerintah.

“Zakat wajib dikeluarkan oleh setiap  individu yang beragama Islam, cukup nisab iaitu kadar tertentu yang diwajibkan zakat dan genap haul iaitu setahun mengikut bulan hijrah,” katanya. 

Menurutnya lagi, pada zaman Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, telah timbul kontroversi berhubung dengan pelaksanaan zakat disebabkan wujudnya golongan al-Riddah yang enggan membayar zakat. 

Khalifah Abu Bakar al-Siddiq merupakan seorang yang mempunyai sikap tegas ke atas orang yang cuba memisahkan antara kewajipan sembahyang dengan kewajipan zakat kerana sembahyang merupakan tiang agama, manakala zakat pula jambatan agama. 

“Pada zaman itu, wujud segelintir yang enggan membayar zakat disebabkan mereka telah tersalah tafsir terhadap ayat-ayat al-Quran yang mewajibkan mereka membayar zakat. 

“Golongan ini telah menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW sahaja yang berhak mengutip zakat, jadi apabila baginda wafat, maka dengan sendiri zakat tidak wajib dibayar,” kongsinya. 

“Justeru, banyak manfaat yang kita perolehi dengan membayar zakat baik untuk diri sendiri mahupun orang lain,” jelas beliau.

Selain sebagai ibadah yang wajib, ujarnya lagi, amalan membayar zakat dapat memberi kesan kepada kesejahteraan ekonomi. 

“Dari sisi ekonomi mikro, zakat sebagai suatu mekanisme untuk memenuhi keperluan sosial individu-individu dalam keadaan mampu dengan cara mensucikan hartanya iaitu menyalurkan sebagian hartanya kepada masyarakat yang memerlukan.

“Sementara secara ekonomi makro pula, ia berfungsi sebagai alat pemerataan pengagihan kekayaan dari si kaya kepada si miskin.

“Jika dilihat dalam konteks pembangunan Islam, Allah SWT telah menjamin rahmat-Nya atas segala sesuatu ketika seseorang itu taat membayar zakat,” ujarnya.

Tambah beliau, di Malaysia pada masa ini telah pun diwujudkan institusi zakat yang diuruskan oleh Majlis Agama Negeri masing-masing. 

“Jadi, sudah tidak ada masalah lagi dalam membayar zakat, bahkan sekarang telah disediakan kemudahan teknologi. 

“Kita tidak perlu lagi datang ke kaunter-kaunter pembayaran zakat, hanya dengan sentuhan jari di telefon bimbit sudah boleh membayar zakat,” katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa pengeluaran zakat terbahagi kepada dua jenis iaitu zakat fitrah dan zakat harta (maal).

 “Zakat Fitrah atau dikenali dengan juga dengan zakat diri dan zakat Ramadan yang diwajibkan ke atas setiap individu yang beragama Islam. 

“Pengeluaran Zakat Fitrah adalah bertujuan sebagai penyuci bagi orang yang berpuasa dari perkataan-perkataan keji dan buruk yang telah mereka lakukan sewaktu berpuasa. 

“Sementara, Zakat Harta (Maal) pula merupakan zakat yang diwajibkan apabila sudah mencapai nisab (mencapai jumlah tertentu) akan sesuatu harta tersebut,” jelasnya lagi.

Menjelaskan lebih lanjut beliau berkata, zakat harta merangkumi hasil perniagaan, pertanian, hasil ternak, hasil temuan, emas, perak dan matawang dimana harta-harta tersebut memiliki kadar nisab yang tersendiri.. 

“Dalam Islam, terdapat 8 golongan orang yang berhak menerima zakat, atau disebut juga dengan mustahiq. 

“Golongan ini meliputi orang fakir; orang miskin; pengurus zakat; mualaf; orang yang memerdekakan budak iaitu orang yang telah berusaha membantu melepaskan tawanan umat muslim dari orang-orang kafir.

“Selain itu, orang yang berhutang iaitu orang yang memiliki beban hutang bukan untuk melakukan maksiat dan tidak sanggup membayarnya; orang yang berjuang di jalan Allah SWT dan musafir.” katanya. – HARAKAHDAILY 10/4/2023

- Advertisement -