KUALA LUMPUR: Kementerian pengangkutan digesa supaya mengemaskini pematuhan undang-undang khususnya pengauditan dan penyelenggaraan bas di negara ini.
Senator Abdul Nasir Idris berkata, ia adalah bagi mengelak dari berlakunya kemalangan di jalan-jalan raya.
“Merujuk kepada pindaan sesyen 2 tentang pengoperasian bas persiaran, apabila berlaku kemalangan di jalan-jalan raya sudah pasti dua, tiga aspek yang kita ambil perhatian dan tindakan iaitu tentang kondisi bas, pemanduan dan tempat kejadian (jalan raya).
“Jadi, tentang kondisi bas juga merupakan salah satu yang boleh menyebabkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini.
“Sebab itu, kita mencadangkan supaya pengusaha bas membuat penyelenggaraan berkala dan juga kita nak minta supaya elemen pengauditan bagi pastikan bas sentiasa berada dalam keadaan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Menurut beliau, bas terbaik adalah pemanduan yang beretika, terlatih dan profesional menyebabkan pelanggan atau pengguna perkhidmatan tersebut yakin untuk naik.
“Kalau kita tengok bas dengan tempoh hayat lama, pemandunya yang tidak meyakinkan kita untuk naik bas itu, sudah pasti ia tidak memberi rasa selamat kepada pengguna perkhidmatan kenderaan awam itu.
“Jadi sebab itu, kita nak minta supaya peraturan ini iaitu pematuhan dari segi undang-undang tentang pengauditan, penyelenggaraan ini dapat dikemaskinikan oleh pihak JPJ.
“Kita juga meminta jabatan boleh bagi data punca kemalangan-kemalangan maut, mungkin ia disebabkan dari kelalaian pemandu, kondisi bas atau sebab lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/4/2023