Buang nikotin dari Akta Racun: Kepentingan dan kesan

Dato' Dr Izani Husin
- Advertisement -

TANGGAL 31 MAC 2023, telah mencatatkan detik kelam bagi negara kita apabila kerajaan membuat keputusan untuk membuang nikotin yang merupakan bahan asas gel dan cecair vape dari Akta Racun 1952.

- Advertisement -

Tindakan ini telah membenarkan penjualan rokok elektronik (e-cig) atau vape secara berleluasa, sama ada kepada belia ataupun pelajar tanpa kawalan. Difahamkan, di atas setiap penjualan nikotin akan dikenakan cukai buat kerajaan.

Meski dinasihati dan dilarang dengan baik oleh Lembaga Racun Negara, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), kerajaan tetap meluluskan percukaian ini tanpa terlebih dahulu meluluskan RUU Kawalan Produk Tembakau & Merokok, bagi memapankan usaha Generational EndGame, satu generasi baharu bebas rokok.

Kerajaan hari ini, dilihat terdesak dalam mengaut perolehan negara melalui cukai nikotin, tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang terhadap kesihatan rakyat.

Kesan nikotin ternyata bukan sahaja menyebabkan ketagihan, bahkan kajian menunjukkan pendedahan otak kepada nikotin semasa remaja amat berbahaya kerana zaman remaja adalah peringkat kritikal perkembangan otak dan berisiko untuk mencuba bahan-bahan terlarang yang menjurus kepada penyalahgunaan dadah.

Satu tindakan yang dilihat bertentangan dengan dasar dan polisi Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyasarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas amalan merokok telah menghampakan pasukan kesihatan negara yang saban waktu bertungkus-lumus menyedarkan rakyat akan mudarat ketagihan nikotin ini.

Justeru, pihak kami memandang berat akan isu ini dan seharusnya Menteri Kesihatan menarik balik kelulusan tersebut dengan kadar segera. Kami mengimpikan satu generasi pelapis bebas rokok dan dadah yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara kelak.

DATO’ DR IZANI HUSIN
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan
2 April 2023 – HARAKAHDAILY 2/4/2023

- Advertisement -