Madinah Ramadan manifestasi syiar martabat Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Usaha kerajaan Kelantan mewujudkan Madinah Ramadan sebagai simbol dan syiar membesarkan Islam dengan manifestasi memuliakan al-Quran menerusi acara tilawah, tadarus dan tadabur.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri bersyukur tahun ini dapat menghidupkan dan mengekalkan Madinah Ramadan.

“Semoga pada penghujung Ramadan nanti diisi dengan amal ibadah, amal kebajikan dan amal taqwa,” katanya pada perutusan khas Ramadan 1444 Hijriah di sini hari ini.

Madinah Ramadan diwujudkan kerajaan di Dataran Warisan, perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV sejak lebih 20 tahun lalu.

Program itu dinaik taraf daripada Qaryah Ramadan yang diadakan di Dataran MPKB berhampiran Stesen Bas SKMK di pusat bandar Kota Bharu pada awal 1990-an.

Menteri Besar juga berkata, Ramadan sebagai peluang terbaik untuk mendidik diri dengan semangat persaudaraan Islam dalam membentuk perpaduan ummah.

Katanya ia juga menerbitkan perasaan kasih sayang dan timbang rasa kepada mereka yang memerlukan menerusi infak dan sedekah bagi merapatkan lagi jalinan silaturahim sesama anggota masyarakat.

“Hiasilah diri dengan akhlak terpuji dari segi perbuatan, percakapan dan elakkan daripada pembaziran.

“Kedatangan madrasah Ramadan setiap tahun untuk membersihkan rohani manusia serta mendidik nafsu supaya menjadi manusia yang bertaqwa kepada Allah SWT,” ujarnya.

Oleh itu beliau mengajak umat Islam bermuhasabah, berusaha dan beribadah serta berdoa di bulan yang mubarak bagi mendapat keampunan daripada Allah SWT.

“Saya mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh rakyat Kelantan di mana sahaja mereka berada. Kita tumpukan peningkatan amal ibadah dan berganding-bahu dalam agenda membangunkan masyarakat sejahtera serta bertaqwa.

“Semoga Allah SWT memberkati Kerajaan Kelantan dalam mendasari Merakyat Membangun Bersama Islam,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 22/3/2023

- Advertisement -