Bila nak selesai isu pencen veteran ATM?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masih belum ada penyelesaian menyebabkan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) meminta Kementerian Pertahanan menyatakan bilakah kerajaan dapat membuat penyelarasan itu.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, rata-rata veteran ATM yang telah berpencen ini adalah mereka berumur di atas 60 tahun. Sebelum ini pun yang menteri ada memberi makluman bahawa kementerian akan berusaha untuk memberikan bantuan sara hidup.

- Advertisement -

“Jadi sekali lagi, saya ingin bertanyakan yang pertama, bilakah pihak kementerian akan menyelaraskan pencen veteran ATM?” katanya dalam soalan tambahan sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga meminta kerajaan menyatakan usaha mengesan pesara ATM yang belum mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM.

Menjawab persoalan ini, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan berkata, kerajaan memohon pertolongan persatuan veteran ATM di setiap negeri dan cawangan untuk mengesan veteran ATM yang belum berdaftar.

Dalam isu kekurangan pendaftaran, katanya ketika fasa peralihan, iaitu dalam tempoh enam bulan sebelum bersara, mereka telah diberitahu untuk mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, namun masih ramai yang tidak mendaftar, terutama di Sabah. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -