Malaysia berdepan risiko ancaman ‘barah’ dari laut

Prof Dr Zaidi Embong
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mikroplastik dan pembuangan sisa air terawat loji nuklear ke dalam laut dilihat bakal menjadi ancaman utama terhadap kesihatan manusia.

- Advertisement -

Profesor dari Jabatan Fizik dan Kimia, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Dr Zaidi Embong berkata Malaysia juga tidak terlepas daripada risiko ini jika tiada kesedaran dan tindakan proaktif dilaksanakan segera.

Zaidi berkata kedua-dua pencemaran ini mampu memusnahkan ekosistem hidupan laut sekali gus menjejaskan keterjaminan makanan dunia. 

“Sifat plastik yang tidak mudah mengurai meskipun selepas berbelas tahun menjadikannya mudah ditelan dan terkumpul dalam badan dan tisu kebanyakan organisma.

“Kesan lebih memudaratkan apabila partikel mikroplastik ini terperangkap dalam insang sekali gus plastik bersaiz mikro ini akan menyerap ke dalam tisu haiwan di laut, seterusnya sumber perikanan tercemar ini menjadi santapan masyarakat,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Berdasarkan statistik Our World in Data (OWD) merekodkan 8.0 juta tan (bersamaan tiga peratus bahan buangan plastik global) akan mengalir ke laut menerusi pelbagai sumber pelepasan.

Di Malaysia, dianggarkan secara purata sebanyak sembilan bilion bahan plastik digunakan oleh rakyat setiap tahun dan sebahagian besarnya juga berakhir di lautan.

Beliau menambah mikroplastik yang berukuran kurang dari 20 mikron mampu memasuki organ manusia seperti otot dan juga tisu badan serta berpotensi memberikan risiko terhadap sistem pernafasan, salur darah, buah pinggang dan sistem penghadaman manusia.

Menurut Zaidi selain mikroplastik, turut perlu diberikan perhatian ialah isu berkaitan pembuangan air terawat loji nuklear ke dalam laut.

Beliau berkata biarpun ia telah melalui proses penapisan untuk menyingkirkan kebanyakan radioisotop, namun ia masih memiliki sejumlah besar radioisotop tritium yang sukar diasingkan daripada air.

“Pencemaran radioisotop seperti tritium ini terhadap hidupan laut boleh mengganggu ekosistem dan rantaian pemakanan hingga mampu memberi kesan karsinogenesis yang boleh mengakibatkan kanser kepada manusia,” katanya.

Baru-baru ini Jepun terus menyatakan hasratnya ingin melepaskan air dari loji nuklear Fukushima yang musnah ke laut sekitar musim bunga atau musim panas tahun ini.

Pada April 2021, Jepun telah meluluskan pelepasan lebih satu juta tan air dari loji itu ke laut selepas rawatan.

Zaidi berkata kesan pergerakan arus laut berkemungkinan besar menyebabkan masyarakat yang tinggal di sekitar Laut China Selatan akan menerima tempias daripada aktiviti menyingkirkan sisa air dari loji nuklear itu.

Beliau berharap satu kempen kesedaran akan risiko kesihatan yang bakal dihadapi masyarakat jika terdedah dengan pencemaran mikroplastik dan sisa nuklear ini dapat dilaksanakan sebagai langkah perlindungan.

Pemonitoran kualiti air laut juga perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa agar dapat melindungi kepentingan masyarakat di masa akan datang, katanya. – BERNAMA

- Advertisement -