500,000 tunjuk perasaan protes kerajaan Netanyahu

Kira-kira 200,000 orang membuat tunjuk perasaan di Tel Aviv, kebanyakannya membawa bendera kebangsaan Israel pada 11 Mac 2023. (FOTO: BBC)
- Advertisement -

TEL AVIV: Seramai kira-kira 500,000 penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di seluruh Israel memprotes perancangan kerajaan di bawah kepimpinan Benjamin Netahyahu untuk mengubah dasar kehakiman negara itu.

Penganjur protes berkata  penunjuk perasaan mengadakan protes pada lewat Sabtu itu  untuk minggu ke-10 berturut-turut, dalam apa yang disebut oleh akhbar Haaretz sebagai ‘demonstrasi terbesar dalam sejarah Israel’.

Kira-kira 200,000 orang dilaporkan telah mengadakan tunjuk perasaan di Tel Aviv, kebanyakannya membawa bendera kebangsaan Israel.

- Advertisement -

Seorang penerbit BBC di Tel Aviv menyifatkan protes itu sebagai yang paling besar, dengan aliran penunjuk perasaan tanpa henti memenuhi jalanan sehingga larut malam Sabtu.

Terdahulu, Netanyahu berkata perubahan terhadap dasar badan kehakiman negara itu akan mengekang kuasa mahkamah; dan bakal memulihkan keseimbangan antara cabang dalam kerajaan.

Pembaharuan bertujuan untuk memberi pengaruh tegas kepada kerajaan yang dipilih ke atas pilihan hakim, dan mengehadkan keupayaan Mahkamah Agung untuk membuat keputusan menentang eksekutif atau membatalkan undang-undang.

Isu itu telah menyebabkan perpecahan yang mendalam dalam masyarakat Israel dan, secara ketara, telah menyaksikan pihak simpanan – tulang belakang tentera Israel – mengancam untuk enggan berkhidmat sebagai cara untuk menunjukkan penentangan mereka. 

Pada Isnin (6 Mac) lalu, dalam satu langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Israel, berpuluh-puluh juruterbang pejuang simpanan dalam skuadron Tentera Udara elit Israel berkata mereka tidak akan melaporkan diri untuk latihan, namun menarik semula keputusan mereka dan bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan komander mereka.

“Pertembungan mengenai kedudukan komander adalah ketara. Ia berlaku di tengah-tengah ramalan kemungkinan krisis perlembagaan, melibatkan perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan Israel tidak dapat menerima arahan daripada kerajaan, jika tiada kompromi dicapai mengenai pembaharuan yang dirancang,” kata Tom Bateman dari BBC di Baitulmaqdis.

Pada Khamis (9 Mac) pula, penunjuk perasaan menyekat jalan-jalan raya dan cuba menghalang Netanyahu terbang keluar dari negara itu, namun beliau berjaya  kemudiannya berlepas ke Rom.

Kerajaan Israel telah berdiri teguh dalam menghadapi kekecohan, mendakwa protes didorong oleh lawan politik.

Pengkritik berkata, pembaharuan kehakiman yang dirancang, yang sudah pun melalui parlimen, akan mempolitikkan badan kehakiman dan boleh membawa kepada kerajaan yang autoritarian.

Netanyahu berkata pembaharuan itu direka untuk menghentikan mahkamah melampaui kuasa mereka dan mereka telah diundi oleh orang awam Israel pada pilihan raya lalu

Pihak pembangkang bagaimanapun mendakwa pembaharuan itu bakal mengancam demokrasi Israel. 

Pada satu perhimpunan itu, ketua pembangkang Yair Lapid berkata ia  adalah ‘krisis terbesar Israel’.

Bercakap kepada media di bandar selatan Be’er Sheva, Lapid memberi amaran bahawa negara itu sedang menghadapi krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Gelombang keganasan melanda Israel, ekonomi kita merudum, wang  mengalir keluar  dari negara ini. Iran baru sahaja menandatangani perjanjian baru semalam dengan Arab Saudi. Tetapi satu-satunya perkara yang dipedulikan kerajaan ini ialah menghancurkan demokrasi Israel,” katanya.

Sementara dalam perkembangan berasingan, tentera Israel menembak mati tiga rakyat Palestin bersenjata berhampiran bandar Nablus Tebing Barat pada Ahad (12 Mac).

Tentera Israel mendakwa, ketiga-tiga lelaki bersenjata itu telah melepaskan tembakan ke arah pos tentera Israel.

Pegawai Palestin tidak segera mengulas mengenai kejadian itu; namun terdapat lonjakan ketara dalam keganasan antara Palestin dan Israel dalam beberapa bulan kebelakangan ini. – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -