Laporan SIA tidak perlu dipamer untuk ulasan awam

Che Alias Hamid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengadakan pameran sempena program publisiti dan penyertaan awam.

- Advertisement -

Ini, kata kementerian itu bagi membolehkan orang awam membuat semakan sebelum sesuatu Rancangan Pemajuan dimuktamadkan iaitu Rancangan Struktur (RS), Rancangan Tempatan (RT) dan Rancangan Kawasan Khas (RKK).

KPKT menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Che Alias Hamid [PN-Kemaman] di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Alias meminta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan sama ada pihak Kementerian berhasrat untuk mengadakan pameran awam sebagai sebahagian daripada laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) bagi menjamin ketelusan sebelum sesuatu projek pembangunan diluluskan.

Menurut KPKT, penglibatan awam merupakan teras dalam penyediaan kajian Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA).

Jelasnya, penggerak projek juga telah menjalankan aktiviti rundingan bersama pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, peniaga, dan komuniti setempat melalui pelbagai kaedah seperti kaji selidik, perbincangan kumpulan bersasar mahupun pameran awam melalui penyediaan kiosk informasi.

Sehubungan itu, kementerian berpandangan Laporan SIA tidak perlu dipamerkan untuk ulasan awam sebelum laporan tersebut diluluskan memandangkan penglibatan awam telah dilaksanakan di peringkat awal. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -