Projek RTB untuk kurangkan risiko banjir

Zahari Kechik
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksana projek-projek di bawah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk mengurangkan risiko banjir, yang sering dihadapi di negeri Kelantan terutamanya di jajahan Jeli, Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.

- Advertisement -

Menurut Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, projek yang sedang dilaksanakan ialah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sg Golok (KESBAN) Fasa 1 dengan kos projek berjumlah RM656 juta dan dijangka siap pada Ogos 2024.

Katanya, kemajuan fizikal di tapak sehingga Februari 2023 adalah 73 peratus dan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sg Golok Fasa 2 dengan siling kos projek sebanyak RM879 juta yang sedang dalam proses perolehan.

Selain itu, jelasnya JPS turut menjalankan kerja-kerja pemuliharaan sungai di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang melibatkan 59 projek kerja-kerja kecil pada tahun 2022 berjumlah sebanyak RM3.664 juta.

Kementerian itu menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Zahari Kechik [PN-Jeli] di Dewan Rakyt, hari ini.

Zahari dalam soalannya meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan apakah langkah-langkah proaktif yang telah dan akan diambil untuk mengurangkan risiko banjir, yang sering dihadapi di negeri Kelantan terutamanya di jajahan Jeli, Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -