Ketagih judi adalah permasalahan kesihatan mental

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu ketagihan judi dalam kalangan masyarakat adalah satu masalah sosial yang perlu ditangani secara bersepadu oleh agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

- Advertisement -

Menurut kementerian, di bawah International Classification of Diseases 10 (ICD 10), ketagihan judi merupakan satu permasalahan kesihatan mental yang menyebabkan gangguan kepada keharmonian hubungan kekeluargaan, isu kewangan dan juga menjatuhkan maruah individu dan masyarakat.

Sehubungan itu, KKM menyediakan perkhidmatan kaunseling dan terapi psikologi yang merupakan salah satu komponen intervensi bagi menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat secara amnya.

“Perkhidmatan ini disediakan melalui 1,161 klinik kesihatan di seluruh negara,” katanya dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Dato’ Ahmad Saad @ Yahaya [PN-Pokok Sena] di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad dalam soalannya meminta Menteri Kesihatan menyatakan insiatif yang diambil bagi memperluaskan aktiviti kaunseling dan terapi psikologi bagi menangani ketagihan berjudi dalam kalangan masyarakat.

KKM menyediakan perkhidmatan One Stop Centre for Addiction (OSCA) di 59 buah klinik kesihatan peringkat primer di seluruh negara yang dilaksanakan oleh pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan, pegawai psikologi (klinikal) dan pegawai psikologi (kaunseling) bagi menangani masalah ketagihan substans.

“Bagi memperluaskan aktiviti kaunseling dan terapi psikologi di peringkat kesihatan primer, KKM telah menempatkan tambahan 200 pegawai psikologi (kaunseling) secara kontrak (Contract for Service) di 138 Pejabat Kesihatan Daerah bagi memberikan perkhidmatan secara berjadual di klinik-klinik kesihatan peringkat primer,” ujarnya.

Tambahnya, bagi meningkatkan kesediaan petugas kesihatan yang terdiri daripada pakar psikiatri, pakar perubatan keluarga, pegawai psikologi klinikal dan pegawai psikologi kaunseling dalam merawat masalah ketagihan tingkah laku itu, sedang disediakan.

Selain daripada KKM, katanya terdapat juga kementerian-kementerian lain dan pelbagai agensi lain yang mempunyai kaunselor dan turut memainkan peranan dalam membantu menangani isu itu. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -