KUALA LUMPUR: Inventori pesawat pengangkut sedia ada yang telah ditambah menyebabkan Dato’ Sri Ikmal Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) meminta penjelasan Kementerian Pertahanan mengenai perancangan masa hadapan penggunaan aset Pesawat Hercules C-130.
Katanya, ini berikutan kehadiran pesawat Airbus A400M dalam inventori Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Saya juga ingin tahu apakah usaha Kementerian Pertahanan bagi mengimbangi perbelanjaan wang awam dan pada masa yang sama memenuhi keperluan perkhidmatan TUDM,” katanya ketika sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata ketika ini, TUDM mengoperasikan tiga jenis pesawat angkut bagi mendukung pelbagai tugasan bantuan logistik pertahanan, iaitu pesawat CN-235, Hercules C-130 dan Airbus A400M.
Melalui Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55), katanya pesawat C130H akan terus beroperasi sehingga tahun 2040 sebelum penggantian pesawat ini yang dilaksanakan secara berperingkat bermula pada Rancangan Malaysia Ke-16.
“Kehadiran pesawat angkut strategik A400M yang baharu pada tahun 2015 telah meningkatkan keupayaan dukungan logistik strategik TUDM dengan jarak rangkuman lebih jauh,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/3/2023