Sangat wajar Pulau Pinang bayar pengorbanan Kedah

Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

Dalam politik khususnya dalam Islam itu menekankan pentingnya penerapan prinsip keadilan dalam segala aspek termasuk dalam memimpin dan mengatur negara. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 8 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil.”

- Advertisement -

Jika dilihat dari sudut gambaran keseluruhan Belanjawan 2023, maka saya ingin menyatakan bahawa manfaat daripada pembentangan belanjawan ini masih tidak menyeluruh dan tidak melimpah manfaatnya kepada rakyat secara holistik. Kerajaan masih leka bermain politik tanpa memikirkan kepentingan rakyat bawahan yang sekian hari dihimpit dengan masalah kewangan dan juga kos sara hidup yang semakin tinggi.

Saya turut ingin mengingatkan bahawa manifesto Pakatan Harapan pada tahun 2022 termasuklah memberikan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) yang saksama kepada semua Ahli Parlimen. Nampaknya, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan gagal melunaskan janji tersebut dengan tidak menyatakan perkara ini dalam Belanjawan 2023.

Tadi disebut oleh seorang Ahli Parlimen kerajaan bahawa dahulu ada MoU ketika kerajaan sebelum ini telah memberi peruntukan yang sama adil kepada semua Ahli Parlimen. Saya menyatakan, Pakatan Harapan juga telah mengadakan MoU kepada seluruh rakyat Malaysia ketika mereka berjanji untuk memberi secara adil kepada Ahli-ahli Parlimen yang ada di Dewan ini.

Formula-formula pelik yang dicanang seantero negara turut menjadi bahan ketawa dan jenaka bersahaja rakyat marhaen di luar sana. Sebagai contoh, Yang Berhormat Pandan pernah menyatakan dalam Twitternya, “Naifnya budak-budak Umno ini. Tak tahu rupanya harga kereta RM25k sahaja”. Sekarang tibalah masanya untuk Yang Berhormat Pandan mempraktikkan segala formula yang dikeluarkan, termasuklah menurunkan harga kereta Perodua Myvi sekitar RM25,000, tidak termasuk cukai.

Sikap profesionalisme harus dijadikan tunjang dalam pemerintahan walaupun berbeza ideologi antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Ia selari dengan prinsip Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di negara kita.

Satu contoh yang perlu dibangkitkan adalah keputusan Yang Amat Berhormat Tambun membatalkan projek pembinaan Kedah Aerotropolis yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Kita melihat peranan Kedah Aerotropolis akan meningkatkan imej negara sebagai hab pengangkutan kargo udara, logistik, MRO, pusat kecemerlangan aeroangkasa di wilayah utara dan di samping meningkatkan pendapatan ekonomi negara. Kita bukan hanya hendak buat balai polis tetapi juga Kedah Aerotropolis.

Dua kali Yang Amat Berhormat Menteri Besar mengutuskan surat temu janji untuk bertemu dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bagi membentangkan projek ini. Namun, sehingga ke hari ini tidak ada sebarang maklum balas.

Saya bangkitkan juga isu berkaitan hubungan Kedah dan Pulau Pinang yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bagan kelmarin. Faktanya adalah bayaran pajakan dibayar oleh Kerajaan Persekutuan bagi pihak negeri Pulau Pinang sebanyak RM10 juta yang ditambah, yang pada asalnya RM10,000 kepada negeri Kedah. Ini adalah bayaran pajakan Pulau Pinang kepada Kedah. Untuk rekod, selama ini Kerajaan Negeri Kedah hanya menerima bayaran pemberian khas sebanyak RM10 juta setahun bermula tahun 2018 dan royalti sebanyak RM10,000 setahun sejak pajakan bermula pada tahun 1786.

Tuan Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji [Jelutong]: Yang Berhormat Sik, hendak minta penjelasan. Kalau tuntutan itu adalah tuntutan yang munasabah, bukankah lebih adil untuk Menteri Besar Kedah mengemukakan tuntutan kepada Kerajaan Persekutuan daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan seperti ingin memberhentikan bekalan air kepada Pulau Pinang dan kenyataan-kenyataan lain? Kenapakah tidak Menteri Besar mengemukakan permintaan kepada Kerajaan Persekutuan?

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik]: Mungkin Yang Berhormat Jelutong ketinggalan bas mungkin. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah telah pun menyuarakan pandangan ini kepada Kerajaan Persekutuan termasuk juga kepada Kerajaan Negeri Kedah. Dalam soal tuntutan membayar kos penjagaan sumber air mentah daripada Sungai Muda, dengan jelas Kerajaan Negeri Kedah memohon RM50 juta setahun mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 dan Enakmen Sumber Bekalan Air Negeri Kedah 2008.

Lembaga Sumber Air Negeri Kedah ditubuhkan untuk mengawal selia semua sumber air di negeri Kedah. Maka adalah sangat wajar Pulau Pinang juga ada tanggungjawab bagi membayar pengorbanan khususnya rakyat di daerah saya di Daerah Sik yang menjaga Hutan Simpan Ulu Muda untuk menjadi sumber bekalan air bagi seluruh negeri di utara.

Dalam ucapan perbahasan Yang Berhormat Bagan semalam yang menafikan hak-hak ke dalam urusan ini dilihat sebagai seolah-olah “melepaskan batuk di tangga”. Maka sudah pastilah kita melihat Yang Berhormat Bagan sendiri sudah hilang prinsip yang dipegangnya sebelum ini.

Kita masih ingat di Dewan yang mulia ini, beliau pernah menyatakan di luar sana dalam laporan Berita Harian, 17 Jun 2022 disebut, “Bagaimana DAP boleh bekerjasama dengan individu yang bekerjasama dengan…”— ketika itu— “…Yang Berhormat Pekan untuk menumbangkan Kerajaan PH. Ia seolah-olah bekerjasama dengan Barisan Nasional”. Akan tetapi kita lihat pada hari ini, sebaliknya berlaku. Masa kempen PRU disebut dengan lantang di media-media sosial, di kempen-kempen, “Tolak BN! Tolak Rasuah!” Akan tetapi, selepas PRN, halal belaka.

Belanjawan kita tidak cukup kuat untuk menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat terutamanya penjawat awam. Ketika Yang Berhormat Bera menjadi Perdana Menteri, beliau telah mengumumkan beberapa inisiatif baru dan berita gembira buat penjawat awam, antaranya tambahan khas RM100 dalam bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) tahun 2023 pada belanjawan yang lepas sebelum Parlimen dibubarkan.

Begitu juga KGT tambahan khas sebanyak RM100 itu adalah bagi penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 dan akan dibayar mulai Januari 2023 yang melibatkan kira-kira 1.28 juta penjawat awam serta implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion. Maka, jika dibandingkan dengan belanjawan yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun baru-baru ini, seolah-olah menafikan dan tidak mempedulikan kedudukan penjawat awam kita yang sedang menghadapi kemelut bebanan ekonomi yang semakin meruncing.

Saya beralih kepada isu kelangsungan penoreh-penoreh getah, khususnya di Daerah Sik, Daerah Baling dan ramai lagi kawasan-kawasan yang ramai di kalangan penduduknya adalah penoreh getah. Kita menyambut baik kerajaan menaikkan harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram. Namun demikian, jumlah kenaikan ini sangat tidak setimpal hanya sekitar lapan peratus sahaja dan di mana ketika seluruh penoreh memohon untuk dinaikkan sehingga RM3.50.

Apa yang menjadi masalah juga ialah bagaimana mekanisme IPG dilaksanakan, ketika mana lebih 80 peratus penoreh-penoreh kita tidak dapat membuat tuntutan secara baik sehinggakan kita tidak dapat memastikan bahawa penoreh-penoreh ini dapat harga yang sangat baik ketika mereka menjual hasil daripada kebun-kebun mereka.

Saya mencadangkan juga sepertimana yang disebut oleh Yang Berhormat Kubang Kerian tadi, bagaimana syarikat-syarikat konglomerat besar, syarikat-syarikat ataupun industri-industri getah ini juga memberi satu dana yang besar bagi membantu dana untuk kita meningkatkan pendapatan penoreh-penoreh getah. Tidak hanya kita meminta syarikat BERNAS memberi peruntukan kepada pesawah-pesawah kita. Begitu jugalah saya yakin ada juga syarikat-syarikat yang mereka ini mengaut laba yang begitu besar ketika mana penoreh-penoreh kita pagi, petang, siang dan malam membanting tulang untuk menghasilkan getah untuk keperluan negara kita.

Seterusnya saya juga ingin membangkitkan berkaitan dengan isu keselamatan makanan, khususnya penanaman padi di negara kita. Sebelum ini ketika kerajaan sebelum ini, kita telah mula mengusahakan projek penanaman padi lima kali dua tahun untuk meningkatkan SSL padi daripada 70 peratus naik hingga 80 peratus.

Namun, yang sangat mengecewakan, ketika dalam belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini tidak langsung menyebut bagaimana langkah kerajaan untuk meningkatkan hasil pendapatan khususnya para petani kita dan juga hasil padi ataupun keperluan beras negara kita yang pada hari ini dalam laporan pengeluaran padi, khususnya di Kedah dan Perlis menghadapi kekurangan yang sangat ketara apabila pelbagai isu yang berbangkit termasuklah isu tanah sawah yang rosak dan sebagainya.

Saya ingin membangkitkan sedikit berkaitan dengan isu antarabangsa yang kita lihat Malaysia perlu mainkan peranan yang aktif khususnya isu yang melibatkan di Asia Barat, khususnya rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa kezaliman pembunuhan rejim aparteid Israel sejak tahun 1948. Terus berlaku pengusiran kepada seluruh rakyat Palestin termasuklah di Tebing Barat termasuklah di Semenanjung Gaza.

Penyelesaian dua negara yang ditaja oleh Amerika Syarikat nampaknya adalah satu penipuan untuk merampas seluruhnya tanah-tanah orang-orang Palestin. Saya mencadangkan di sini untuk Parlimen kita dengan begitu serius mewujudkan Kokus Parlimen Palestin sepertimana yang telah pun diadakan oleh beberapa negara-negara yang lain.

Saya ingin merumuskan iaitu berkaitan dengan belanjawan khususnya kepada Angkatan Tentera Malaysia yang ada peningkatan RM1.4 bilion. Saya ingin bertanya, adakah peningkatan untuk perbekalan Angkatan Tentera Malaysia ini melibatkan pertambahan bagi menyiapkan perolehan kapal littoral combat ship (LCS) yang tergendala sebelum ini?

Yang terakhir untuk saya memberi satu pantun sebagai rumusan ucapan saya.

Negara Malaysia kaya melimpah,
Dipandang indah rupanya ada yang dijarah,
Demi kuasa PH-BN segala-galanya indah,
Hilang prinsip hilanglah arah.
– HARAKAHDAILY 3/3/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman semasa membahaskan Belanjawan 2023 pada persidangan Dewan Rakyat, 1 Mac 2023.

- Advertisement -