Menelusuri kisah agung surah al-Kahfi (6)

- Advertisement -

وَٱتْلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيْكَ مِن كِتَابِ رَبِّكَ ۖ لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَـٰتِهِۦ وَلَن تَجِدَ مِن دُونِهِۦ مُلْتَحَدًۭا (٢٧)

- Advertisement -

“Dan bacakanlah (Muhammad) apa yang diwahyukan kepadamu, iaitu Kitab Tuhanmu (al-Quran). Tidak ada yang dapat mengubah kalimah-kalimah-Nya. Dan kamu tidak dapat menemukan tempat berlindung selain daripada-Nya.” (27)

Jika kita hanya membaca surah ini tanpa mengamalkannya, maka tujuan al-Quran tidak akan tercapai. Sebagai contoh, ubat yang diberikan oleh doktor adalah untuk menyembuhkan penyakit kita. Namun, tujuan ubat tidak akan tercapai dan kita tidak akan sembuh daripada penyakit sekiranya kita tidak menelannya. 

Begitulah juga dengan al-Quran. Salah satu sifatnya adalah Syifa’ iaitu menjadi penawar atau penyembuh. Terutamanya menyembuhkan penyakit hati, antaranya ialah syirik kepada Allah iaitu menyembah selain daripada-Nya, bangga diri, takabbur, dengki, dendam, fitnah dan sebagainya. 

Kalimah-kalimah dalam al-Quran tidak dapat diubah sama sekali oleh manusia. Bermacam-macam cara yang telah diusahakan untuk merosakkannya. Walaupun berlaku kesilapan dalam proses cetakan, akan ada orang yang sedar. 

Sebab Allah menjaganya melalui adanya para Huffaz iaitu orang-orang yang menghafalnya. Gelaran Hafiz sebenarnya bukan sahaja diberikan kepada orang yang menghafal Al-Quran tetapi juga kepada sesiapa yang menghafal hadis termasuk matannya. Orang yang tidak mengamalkan al-Quran tidak akan mendapat perlindungan-Nya. 

Berkawanlah dengan orang yang beriman

وَٱصْبِرْ نَفْسَكَ مَعَ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُم بِٱلْغَدَوٰةِ وَٱلْعَشِىِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُۥ ۖ وَلَا تَعْدُ عَيْنَاكَ عَنْهُمْ تُرِيدُ زِينَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ وَلَا تُطِعْ مَنْ أَغْفَلْنَا قَلْبَهُۥ عَن ذِكْرِنَا وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ وَكَانَ أَمْرُهُۥ فُرُطًۭا (٢٨)

“Dan bersabarlah kamu (Muhammad) bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan petang hari dengan mengharap keredaanNya; dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (28)

Allah meminta Nabi supaya bersama-sama dengan orang-orang yang beriman walaupun mereka adalah orang-orang yang miskin dan menjauhi orang-orang yang tidak beriman walaupun mereka adalah orang-orang yang kaya. 

Oleh itu, kita hendaklah berkawan dengan orang-orang Islam yang baik. Bukan tidak boleh berkawan dengan orang bukan Islam tetapi orang-orang Islam yang perlu diutamakan untuk dipilih menjadi kawan. Sebab iman lebih mahal di sisi Allah berbanding dengan harta benda. 

Namun begitu, kebanyakan kita hari ini dilihat seolah-olah lebih menghormati orang kaya berbanding dengan orang alim. Sehinggakan ada yang memperlekehkan orang-orang alim dan mereka dilabel sebagai penunggang agama. Imam pula kadang-kadang hanya dicari untuk majlis nikah atau bercukur. 

Orang-orang bangsawan Arab memberikan alasan kononnya mereka tidak dapat menjadi pengikut Nabi kerana yang mengikutinya ialah orang-orang miskin. Jika Nabi tidak bersama dengan orang-orang miskin itu, orang-orang bangsawan Arab itu juga teringin untuk memeluk agama Islam menurut sangkaan mereka. Pesanan Allah dalam ayat ini sebagai peringatan agar Nabi tidak terus mempercayai kata-kata orang-orang Arab itu. 

Iman terletak dalam hati, bukan pada pakaian

Hakikatnya, iman dan takwa tidak terletak pada pakaian dan ilmu. Ada orang yang mempunyai banyak ilmu tetapi tidak bertakwa. Sebagai contoh, ada orang yang mengaku dia beragama Islam, boleh mempertahankan Islam apabila berdepan dengan orang Kristian, namun dia sendiri tidak menunaikan solat dan tidak berpuasa. 

Oleh itu, yang kita mahu adalah menjadi orang yang bertakwa walaupun mempunyai ilmu yang tidak banyak. Misalnya, mengamalkan agama dengan baik dan keyakinan yang betul terhadap Allah. 

Dalam satu hadis, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya Allah tidak memandang pada rupa dan tubuh kamu dan tidak pada harta kamu, tetapi Allah memandang hati dan amal kamu [1]” 

(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis di atas menggambarkan bahawa Allah tidak memandang rupa tetapi yang dipandang-Nya adalah hati. Sebab iman dan takwa terletak di dalam hati, bukan pada pakaian. Pakaian tidak mencerminkan ketakwaan. Kisah yang bertajuk Musang Berjanggut boleh kita jadikan contoh. 

Dalam Hadis lain, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Takwa ada di sini. Beliau menunjuk ke dadanya tiga kali. [2]” 

(Hadis Riwayat Muslim)

Sama-samalah kita berusaha supaya hati kita menjadi bersih. Dalam bab Tasawwur, ulamak ada menyebut bahawa, “Hati adalah umpama cermin.” Apabila cermin yang bersih dihadapkan ke langit, maka semua lintasan boleh memasukinya. 

Orang yang memiliki ilmu tanpa perlu berguru disebut sebagai ilmu Ladunni. Seperti mana yang berlaku dalam kisah antara Nabi Khaidir dan Nabi Musa. Perkara yang boleh kita pelajari daripadanya adalah adab belajar dan adab antara guru dengan murid. 

Siapakah sebenarnya orang yang zalim? 

وَقُلِ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ ۖ فَمَن شَآءَ فَلْيُؤْمِن وَمَن شَآءَ فَلْيَكْفُرْ ۚ إِنَّآ أَعْتَدْنَا لِلظَّـٰلِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا ۚ وَإِن يَسْتَغِيثُوا۟ يُغَاثُوا۟ بِمَآءٍۢ كَٱلْمُهْلِ يَشْوِى ٱلْوُجُوهَ ۚ بِئْسَ ٱلشَّرَابُ وَسَآءَتْ مُرْتَفَقًا (٢٩)

“Dan katakanlah (Muhammad): “Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman), hendaklah dia beriman dan barangsiapa yang ingin (kafir), biarlah dia kafir.” Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta pertolongan (minum), nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti cairan tembaga yang mendidih yang membakar muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirehat yang paling buruk.” (29)

Orang yang zalim bukan merujuk kepada orang yang mencuri harta benda, memukul atau mengambil harta benda orang lain. Menurut al-Quran, orang zalim ialah orang yang kufur atau tidak beriman. 

Neraka umpama khemah yang menutupi. Hanya Allah sahaja yang mengetahui kepanasannya. Oleh sebab itu, penghuninya meminta air kerana tidak mampu menahannya. Malaikat memberikan air panas yang mendidih umpama tembaga yang cair. Inilah bentuk seksaan yang disediakan oleh Allah buat orang-orang kafir. 

Adab memuliakan tetamu

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا (٣٠)

“Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang yang mengerjakan amalan-(nya) dengan baik.” (30)

Jika kita beriman dan beramal soleh, Allah tidak akan mensia-siakannya dan kita akan memperoleh ganjaran. Kebiasaannya, apabila Allah mendatangkan ayat yang mengandungi perkataan iman, bersama-samanya ada juga perkataan amal soleh. 

Amal soleh adalah amal yang menepati syarak dan sesuai pada tempatnya. Ada perbuatan baik tetapi tidak sesuai pada tempatnya. Sebagai contoh, solat dikerjakan di pertengahan jalan, membaca al-Quran di dalam tandas, membaca al-Quran ketika berada dalam mesyuarat dan bertahlil ketika kedatangan tetamu ke rumah. 

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya [3].”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Perbuatan menghormati tetamu merupakan ajaran Islam. Apabila tetamu datang ke rumah apatah lagi tetamu yang datang dari tempat jauh atau tetamu yang jarang atau tidak datang dalam suatu tempoh yang lama, layanlah mereka dengan baik dan dengarlah apa yang mereka hendak sampaikan. 

Sungai mengalir dalam syurga menjadi suatu tarikan buat orang Arab

أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ جَنَّـٰتُ عَدْنٍۢ تَجْرِى مِن تَحْتِهِمُ ٱلْأَنْهَـٰرُ يُحَلَّوْنَ فِيهَا مِنْ أَسَاوِرَ مِن ذَهَبٍۢ وَيَلْبَسُونَ ثِيَابًا خُضْرًۭا مِّن سُندُسٍۢ وَإِسْتَبْرَقٍۢ مُّتَّكِـِٔينَ فِيهَا عَلَى ٱلْأَرَآئِكِ ۚ نِعْمَ ٱلثَّوَابُ وَحَسُنَتْ مُرْتَفَقًۭا (٣١)

“Mereka itulah orang yang memperolehi syurga ‘Adn, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya; dalam syurga itu mereka dihiasi dengan gelang emas dan mereka memakai pakaian hijau daripada sutera halus dan sutera tebal, sedang mereka duduk sambil bersandar di atas singgahsana yang indah. Itulah pahala yang sebaik-baiknya dan tempat istirehat yang indah.” (31)

Orang-orang beriman akan kekal di dalam syurga sampai bila-bila. Bukan seperti berada di dunia yang sifatnya hanya sementara. Sebagai contoh, tinggal di hotel. Paling lama pun kita menginap di hotel cuma sebulan sahaja. 

Ada beberapa sungai yang mengalir di bawahnya. Menurut ulamak, sungai di dalamnya adalah sesuai bagi orang-orang Arab. Sebab mereka hidup di padang pasir dan amat susah bagi mereka untuk mendapatkan air. Paras air sungai pula biasanya adalah pada paras betis sahaja. Jadi, ia merupakan suatu tarikan buat mereka. 

Syurga juga dihiaskan dengan gelang-gelang tangan emas. Orang lelaki boleh memakai perhiasan emas di dalam syurga, begitu juga dengan sutera. Di dunia, haram bagi orang Islam lelaki untuk memakai emas dan sutera kecuali atas faktor kesihatan dan nasihat pakar perubatan. 

Bagi memperoleh ganjaran sedemikian, bersabarlah. Sabar dalam melaksanakan perintah-Nya, menahan diri daripada melakukan maksiat dan sabar menghadapi ujian. Tiada seorang pun manusia yang tidak diuji. Dunia merupakan tempat ujian. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 27 Februari 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 3/3/2023

Rujukan: 

[1] Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim (no. Hadis 6708).
[2] Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim (no. Hadis 2564).
[3] Hadis Sahih Riwayat Imam Bukhari (no. Hadis 6475).

- Advertisement -