Semak semula projek HSR Malaysia-Singapura

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran untuk menyemak semula keperluan melaksanakan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Ir Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan memperluaskan projek berkenaan ke Thailand seperti yang pernah dicadangkan Perdana Menteri Kesembilan sebelum ini.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berkata, cadangan berkenaan perlu diusahakan dan dimasukkan dalam rangka tindakan (blue print) transformasi sektor pengangkutan awam negara.

“Inilah asas kepada perkongsian strategi Asia, jika ketersambungan (pengangkutan) ini boleh dijadikan sebagai realiti, bayangkan berapa negeri yang terbabit pada jajaran tersebut akan mendapat manfaat ekonomi hiliran.

“Sekurang-kurangnya mereka boleh menjana ekonomi sendiri dan kurang bergantung kepada kerajaan Pusat,” katanya.

Pemegang portfolio Kementerian Pengangkutan PERIKATAN NASIONAL (PN) itu berkata demikian semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, katanya infrastuktur pengangkutan awam perlu difokuskan kepada ketersambungan antara daerah srategik di semua negeri negara ini.

Khairil Nizam berkata, bahagian perbelanjaan pembangunan pengangkutan dalam Belanjawan 2023 mestilah tidak fokus hanya kepada bandar metropolitan.

Katanya, jika pembangunan ini dapat disusun melalui keutamaan yang terancang, usaha itu menghasilkan peluang pekerjaan yang tidak hanya berpusat di bandar metropolitan.

“Kita tahu kita ada kekurangan kewangan, tetapi jika kita susun dari sudut keutamaan yang terancang, maka terhasillah peluang pekerjaan yang tidak hanya berpusat di bandar metropolitan.

“Ini juga antara solusi untuk mengurangkan masalah kesesakan di bandar metropolitan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/3/2023

- Advertisement -