Kalau dia boleh tegur, mengapa kita tidak boleh?

Datuk Awang Hashim
- Advertisement -

SAYA ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tambun atas pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat yang lalu. Saya membuat run through dengan izin, terhadap pembentangan Bajet 2023 ini dan mendapati tidak banyak perubahan jika dibandingkan dengan Bajet 2022 selain terdapat copy paste.

- Advertisement -

Dalam pembentangan Bajet 2023, Yang Amat Berhormat Tambun mengumumkan bahawa subsidi dikurangkan kepada RM64 bilion daripada RM70 bilion. Oleh itu saya ingin mendapatkan penjelasan, sektor mana yang terjejas akibat pengurangan subsidi dan apakah langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani masalah yang dihadapi oleh sektor berkenaan. Mungkin sektor isi rumah yang terkesan teruk hasil daripada penarikan balik subsidi yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Tambun dalam bajet yang lalu.

Saya juga ingin mendapat penjelasan berkaitan gaji minimum daripada pihak kerajaan. Apakah rasional daripada pihak kerajaan yang mana gaji minimum RM1,500 bagi perusahaan mikro kecil dan sederhana ditunda lagi sehingga Julai 2023 yang sepatutnya dilaksanakan pada 1 Januari 2023? Saya nak tahu apa relevannya, apakah alasannya?

Ini sebab dengan keadaan kritikal sekarang menghadapi pasca Covid-19 ini, kita melihat semua sektor terutamanya mereka yang berpendapatan rendah terkesan benar tapi apabila kerajaan menangguhkan pelaksanaan gaji RM1,500 ini, ia akan memberi kesan kepada semua sektor economic cycle ini iaitu micro economy cycle.

Bagaimana kita mahu memperkasakan ekonomi golongan B40 sekiranya pelaksanaannya ini ditangguh memandangkan kebanyakan projek pekerja sektor PMKS ini adalah yang berpendapatan sederhana B40.

Dalam pada itu, saya juga ingin mencadangkan penambahbaikan sistem penggajian sedia ada atau mempertimbangkan Progressive Wage Model yang menumpukan sektor vulnerable, dengan izin, iaitu perladangan, perkhidmatan, pembersihan, pertanian dan sebagainya sebagai satu struktur gaji baharu yang memberi manfaat kepada bukan sahaja kepada rakyat dan juga majikan malahan kerajaan turut mendapat faedah daripada segi segmentasi gaji-gaji yang telah kita tetapkan ini mungkin daripada sini boleh mendapat hasil baru negara ataupun revenue negara yang mana sektor-sektor penggajian ini bila disusun semula dan juga gaji minimum RM1,500 ini dilaksanakan.

Tuan Yang di-Pertua, dalam pembentangan Bajet 2023 tempoh hari, tiada penekanan khusus disebut berkaitan dengan sistem pendidikan TVET meskipun ia merupakan perkara yang cukup penting. Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar dasar pendidikan TVET ini perlu diletakkan di bawah kementerian atau agensi khas memandangkan ia sangat penting dalam aspek pembangunan negara.

Sehubungan dengan itu, usaha yang perlu dipertingkatkan adalah dengan meningkatkan lebih banyak penghasilan pekerja mahir dan separa mahir serta penekanan pembangunan pendidikan latihan teknikal dan vokasional ini.

Melalui pendekatan ini, kita dapat membentuk generasi baru sumber manusia yang lebih berkemahiran daripada apa yang kita miliki ketika ini sekali gus bakal melahirkan lebih banyak syarikat yang berteraskan teknologi tinggi. Ingin saya tekankan di sini, TVET bukan lagi pilihan kedua malahan ia perlu diangkat seiring dengan pengajian akademik arus perdana.

Galakan yang perlu diberikan kepada pihak majikan menerusi insentif-insentif menarik bagi memperkasakan dan memacukan lagi agensi penyelidikan dan pembangunan R&D. Saya yakin apabila kesemua asas kepada talian ini sudah dibina oleh kerajaan, insya-Allah kita boleh melangkah ke hadapan untuk muncul sebagai negara pengeluar kepada produk yang berteknologi tinggi serta inovatif.

Saya ingin menyentuh sedikit mengenai hal berkenaan pembangunan projek KXP di negeri Kedah. Untuk makluman semua, projek ini dibangunkan oleh Private Finance Initiative (PFI), tidak menggunakan sekupang haram pun duit Kerajaan Pusat.

Cuma kita meminta kelulusan daripada peringkat Pusat daripada segi federalization. Persekutuan (Federal) dengan negeri ini perlu mendapat kelulusan dari Pusat untuk kita menaikkan. Apakah salahnya kalau diluluskan? Ini memberi kesan yang banyak ke Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis bila PFI ini dibangunkan tidak menggunakan duit Kerajaan Pusat ini.

Saya memohon agar perhatian diberikan segera terhadap pembangunan Hospital Pendang. Kebetulan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan ada di sini. Saya mendapat maklum balas apabila hospital terbabit yang beroperasi sekarang berdepan dengan masalah kekurangan kakitangan, peralatan perubatan sepenuhnya. Saya difahamkan, jumlah keseluruhan perjawatannya ialah 933 tetapi hingga kini hanya 20 peratus perjawatan diisi.

Jawatan yang kritikal ialah pegawai perubatan, paramedik, pegawai perubatan dan juga jururawat, pembantu farmasi, juruteknologi makmal, juru x-ray dan pentadbiran. Oleh sebab itu, beberapa buah jabatan utama tidak dapat menjalankan operasi sepenuhnya. Sebagai contoh, Jabatan Kecemasan yang hanya mampu beroperasi sebanyak 70 peratus sahaja kerana kekurangan staf dan limitasi makmal meskipun beroperasi 24 jam.

Saya ingin menyentuh berkenaan dengan kebebasan bersuara (freedom of speech) yang kononnya diperjuangkan sebelum ini oleh Yang Amat Berhormat Tambun tetapi apa terjadi hari ini sebaliknya. Apakah erti kebebasan untuk bersuara dilaungkan jika diikuti dengan LOD ataupun surat saman? Saya kena cakap benar. Bila saya keluar dari Dewan, LOD menanti saya. Jadi ingat Yang Berhormat semua, LOD juga menanti kamu. Jadi oleh sebab itu, kita terus bercakap berkenaan dengan freedom of speech ini dengan izin.

Teguran dan kritikan sepenuhnya perlu diterima dengan hati terbuka dan berlapang dada kerana ia menunjukkan sebuah kerajaan yang berjiwa besar kerana di sebelah sana saya tahu ramai pengampu dan bodek. Jadi kamilah yang akan menegur. Kalau ini tidak boleh diterima oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekarang ini, maka Yang Amat Berhormat Perdana Menteri hanya ada seorang sahaja terdedah kepada kritik dan teguran. Jadi kalau tidak boleh diterima, kita nampak Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sangat berjiwa kecil. Jadi kita melihat apakah ini yang akan disalurkan, tidak boleh menerima kritikan, sangat halus jiwanya cepat koyak. Jadi kita harap benda ini bila kita tegur, manusia biasa penuh kelemahan.

Oleh itu, pernah dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Tambun pernah mengkritik Presiden PAS dengan mengatakan “berjubah, berserban tetapi fitnah”. Akhirnya apa yang dikatakan itu benar belaka setelah cium mulut antara Umno dengan PH ini. Saya risau sekiranya nanti rakyat kenang Yang Amat Berhormat Tambun sebagai Perdana Menteri, bapa saman negara kerana mengamalkan budaya fearmongering dengan izin, menakutkan orang yang menegur. Kalau dia boleh ditegur, mengapa kita tidak boleh? Saya gusar nanti Yang Amat Berhormat Perdana Menteri takut dengan bayang-bayang sendiri sekiranya terus berlarutan.

Berkenaan dengan kesiapsiagaan aset laut sangat penting. Saya cuma hendak bangkitkan berkenaan dengan LCS ini. SPRM telah memaklumkan, siasatan LCS sudah lengkap. Bilakah SPRM akan mendakwa mereka yang didapati punca skandal LCS ini terjadi? Tambahan lagi, komitmen berkala TLDM berkenaan dengan hak kedaulatan Malaysia terutama di zon maritim Malaysia.

Persoalan tambahan adalah dengan status terkini, kapal LCS yang dijangka siap pada tahun 2026 sebagaimana jawapan lisan Yang Berhormat Rembau, apakah aset sedia ada TLDM mencukupi untuk menjaga kawasan maritim Malaysia? Saya ingin tahu, adakah pihak kementerian mendapat bajet bagi memulakan perolehan kapal littoral mission ship (LMS) batch two, batch yang kedua yang baharu bagi memenuhi keperluan TLDM pada tahun ini. – HARAKAHDAILY 1/3/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 27 Februari 2023.

- Advertisement -