Wajarkah penjawat awam hanya terima RM700?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, mempersoalkan tindakan kerajaan yang hanya memperuntukkan RM700 kepada penjawat awam dalam Belanjawan 2023.

Ahli Parlimen dari PERIKATAN NASIONAL (PN) itu berkata, penjawat selaku pelaksana segala dasar awam sentiasa tertakluk kepada arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh kerajaan memerintah.

- Advertisement -

Malah, katanya pencapaian penjawat awam ketika ini begitu baik dan boleh dikategorikan antara yang terbaik di Asia.

“Namun, di manakah keistimewaan dan penghargaan kepada penjawat awam dalam bajet tersebut?

“Wajarkah hanya Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 diberikan kepada penjawat awam?” soalnya semasa membahaskan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Azizi Abu Naim turut mempertikaikan mengapa tiada sebarang semakan kepada kadar Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) ketika ini.

Apatah lagi, katanya pada waktu penjawat awam juga berdepan dengan kekangan tugasan dan peningkatan kos sara hidup.

Katanya lagi, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) beberapa kali menyuarakan harapan kepada pihak kerajaan untuk menaikkan gaji kakitangan awam serta sistem saraan baru dalam perkhidmatan awam.

Namun beliau hairan mengapa suara CUEPACS itu tidak disebut dan diperuntukkan dalam belanjawan tahun ini. – HARAKAHDAILY 1/3/2023

- Advertisement -