Pempengaruh diseru cipta kandungan berfakta

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan menyeru para pempengaruh (influencer) yang bergiat aktif mencipta kandungan video pendek di media sosial agar memuat naik karya berfakta.

Exco Penerangan Negeri Kelantan YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, bidang yang dikuasai anak muda ini amat sesuai dijadikan medan penyampaian maklumat yang tepat.

Katanya pengikut media sosial suka mendengar dan mengikut mesej yang ditonjolkan oleh pempengaruh atas sebab-sebab tertentu. 

“Oleh kerana  sasaran penontonnya ramai dari pelbagai generasi dan latar budaya, menjadi tanggungjawab para influencer yang dikurniakan bakat berkarya melalui cara ini untuk memberitahu perkara sebenar kepada masyarakat.

“Contohnya, dulu Dato’ Seri Anwar Ibrahim berjanji jika beliau berkuasa, royalti minyak akan diberi 20 peratus kepada  Kelantan dan Terengganu. 

“Namun setelah mendapat kuasa sekarang, beliau kata Kelantan, Terengganu tak berhak langsung mendapat royalti. 

“Walhal tahun 70-an, Kerajaan Persekutuan datang berunding dengan Kelantan untuk menentukan hak royalti petroleum ditetapkan sebanyak lima peratus.

“Macam dulu masa nak pinang datang minta izin, sudah jadi isteri dia, perempuan yang dinikahinya itu terus hilang status sebagai anak kita,” jelasnya.

Dato’ Mohd Nassuruddin berkata demikian dalam Majlis Apresiasi Influencer 2023 di Hotel Perdana, semalam.

Majlis anjuran Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu dilaksanakan khas untuk merai para influencer Kelantan dan Terengganu.

- Advertisement -

Mereka terdiri daripada pempengaruh yang mencipta kandungan perihal keistimewaan negeri ini dari pelbagai sudut; keadilan politik, keunikan masakan dan pusat rekreasi menarik di sini.

Antara influencer yang menerima anugerah penghargaan Influencer Selebriti ialah aktor mapan Mustafa Kamal.

Manakala Pegawai Penerangan Zon UPKN Hareetaran J. Raman pula menerima anugerah Influencer Perpaduan Kaum. – UPKN

- Advertisement -