Dasar perpaduan perlu praktikal, bukan sekadar teori

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji secara menyeluruh sama ada asas pembangunan dasar perpaduan negara sekarang merupakan tindakan yang tepat dan komprehensif bagi mengukuhkan tahap kesepaduan rakyat.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali berkata, jawapan Menteri Perpaduan Negara (Datuk Aaron Ago Dagong) ketika menjawab soalan lisan asalnya apabila diamati adalah teori yang bagus, tetapi realitinya masih lagi berlaku rasisme dalam kalangan rakyat.

Katanya, kerajaan perlu mengetahui peratusan rakyat yang bukan sahaja tahu, malah memahami dan menghayati asas pembangunan dasar perpaduan negara.

“Adakah kerajaan bercadang untuk mengkaji secara menyeluruh bagi merentasi kelompok-kelompok, segmen-segmen, dalam dan luar bandar.

“Ini bagi mengetahui berapa peratuskah rakyat Malaysia yang mengetahui, memahami dan menghayati dua asas pembangunan dasar perpaduan negara sedia ada, iaitu Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara bagi mengambil tindakan yang tepat dan komprehensif.

“Ini kerana kita lihat teorinya tadi bagus, dasar pembangunan negara tadi bagus, tapi realitinya secara praktikal kenapa berlaku perkara yang dipanggil rasisme dan sebagainya yang kontemporari ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Perpaduan Negara.

Dalam soalan lisan asal, Dr Halimah meminta kerajaan menyatakan keberhasilan Indeks Perpaduan di Malaysia yang dijalankan oleh Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menangani masalah perpaduan negara.

Beliau berkata, sudah tiba masa kerajaan bersedia bersama barisan pembangkang sebagai penanda aras kepada kementerian lain kerana budaya kerajaan baharu baru satakat melaungkan perpaduan. – HARAKAHDAILY 16/2/23

- Advertisement -