KELANTAN tersisih daripada Belanjawan Persekutuan sudah bagaikan lumrah dan sedia dimaklumi khususnya sejak tahun 1990. Ia diskriminasi dan dendam bersifat politik kepartian yang mencabul semangat demokrasi dan federalisme.
Namun biarpun sedemikian dan penuh kekurangan, negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga ini tetap dipacu secara solidariti bersama. Pemimpin politik peneraju negeri dan rakyat saling membahu membangunkan negeri ini.
Belanjawan 2023 dibentangkan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) pada Jumaat lalu di Dewan Rakyat, Parlimen juga meminggirkan Kelantan. Beliau yang juga Perdana Menteri jelas masih bermentaliti pembangkang.
Ianya tidak pelik, kerana dengan segala keputusan atau tindakan dibuatnya kini menjelaskan peribadi dan kebertanggungjawabannya yang sebenar. Menunjukkan ‘isi perut’ dan ‘busuk hati’ beliau serta politik penuh kesumat.
Anwar merasa terancam dan tergugat oleh saingan politik yang wujud, sekali gus membuktikan karisma politiknya hanyalah kosmetik. Beliau hakikatnya tiada wibawa yang unggul dan meyakinkan untuk memimpin dan mentadbir.
Kelantan secara khusus hanya menerima projek tebatan banjir yang ditender semula, di mana merupakan kelulusan pentadbiran terdahulu. Ianya bukanlah satu pembangunan baharu, tetapi keperluan mendesak sejak sekian lama dan bersifat kecemasan.
Belanjawan 2023 menyaksikan DSAI menzalimi Kelantan setelah negeri Cik Siti Wan Kembang inilah menjadi pentas ‘Reformasi’ beliau suatu masa dahulu. Mustahil beliau lupa kepada Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA).
Sosok tua itu antara yang memimpin pembelaan kepadanya selain Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor (UFN) dan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH). Bahkan sehingga ke hari ini ‘walaNon’ masih lagi menjaja nama Almarhum.
Betapa DSAI pernah dikehendaki dan direstui TGNA untuk mengambil alih kerajaan dan dinobatkan sebagai Perdana Menteri. Ironinya, Anwar sendiri pernah berikrar sekiranya diangkat menjadi PM, akan mengembalikan royalti petroleum kepada Kelantan.
Kini janji politik itu hanyalah menyerlahkan betapa DSAI adalah seorang politikus yang penuh helah dan muslihat serta dihiasi slogan, retorik lagi hipokrit. Manakan tidak, bukan hanya Kelantan yang sahaja, tapi seluruh Malaysia ditipu bohongnya.
Janji turun harga petrol dalam 24 jam hilang entah ke mana, selepas 240 jam pun tetap tidak terlaksana, bahkan pelbagai reformasi akhirnya membasi. Hentakan kronisme dan nepostisme tiba-tiba menjadi tulus murni melantik anak sendiri.
Mungkir janji semua ini hanya akan memakan diri beliau termasuk kerajaan dipimpinnya di mana kalimah Madani dan Rahmah tidak cukup untuk melanjutkan usia mereka. Kerana umat Melayu-Islam akan terus menjadi penentu tampuk kuasa negara ini.
Biarpun mendapat ‘tantangan’ daripada seluruh kekuatan sekutu Anwar secara songsang, luar tabii dan jalan belakang sekalipun, Gelombang Hijau umat ini sukar dibendung. Mereka sedar Belanjawan 2023 Anwar telah mengkhianati umat ini.
Kerana bukan sahaja Kelantan dizalimi, hakikatnya DSAI menelan sama segala alasan dan mengulangi kelakuan Umno-BN dahulu menindas negeri-negeri pembangkang. Terengganu dan Kedah turut menjadi mangsa Anwar dinafikan pelbagai hak.
Terengganu menerima nasib seperti Kelantan tidak akan menerima royalti, Kedah pula dipinggirkan untuk projek Kedah Aerotropolis dan Pelabuhan Yan. Semua ini negeri-negeri Melayu yang pembangunan baharu ekonomi sedang dipacu kerajaannya.
Di sebalik peruntukan diberi untuk Bumiputera, potongan kek lebih besar akan dikembung kenyangkan kepada yang lain dan berada di negeri PH. Apapun, peruntukan yang rasis ini juga menunjukkan DSAI telah pasrah dan menyerah kalah.
Beliau telah ‘membayangkan’ betapa sukar untuknya dan PH termasuk sekutu baharunya BN membolosi kekuatan PN khususnya PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Oleh itu, DSAI cuba menyelamatkan maruahnya di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Cukuplah andai salah satu negeri tersebut juga tewas diambil alih PN pada PRN dijangka Julai atau Ogos nanti, Anwar pasti merasa gayat untuk menempuh ‘tantangan’ politik untuk hari-hari berikutnya.
NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 27/2/2023
Belanjawan 2023: Anwar pasrah dan menyerah kalah
Negeri-negeri Melayu dikhianati Kerajaan PH-BN
- Advertisement -