‘Import’ HDB langkah kurang strategik untuk negara

- Advertisement -

DALAM sesi Soal Jawab Pertanyaan Menteri-menteri pada 23 Februari 2023, saya berpeluang membangkitkan persoalan mengenai rasional KPKT membawa masuk pakar perumahan HDB dari Singapura sedangkan Malaysia sendiri mempunyai kepakaran melibatkan perancangan bandar yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan tersebut.

Saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri KPKT di atas kesudian beliau menjelaskan secara panjang lebar mengenai persoalan yang telah dibangkitkan, yang mana secara keseluruhannya saya boleh rumuskan bahawa kementerian berpendapat langkah tersebut sangat tepat untuk memantapkan Dasar Perumahan Negara (DPN).

Namun begitu, saya berpandangan langkah ‘mengimport’ HDB ini kurang strategik dan tidak bagus untuk negara dan rakyat secara keseluruhannya. Hal ini kerana, ia akan melibatkan kos yang besar apatah lagi dalam situasi kelembapan ekonomi semasa, akan memberi implikasi negatif terhadap kewangan negara. Tambahan pula, ia melibatkan elemen strategik negara iaitu tanah yang seharusnya menjadi kerahsiaan lebih-lebih lagi oleh seorang pemimpin utama negara ini.

Selain itu, langkah ini juga secara langsung seolah-olah tidak mengiktiraf kepakaran pakar dan agensi tempatan. Meskipun agensi tempatan yang ada dilihat kurang mahir berbanding pakar asing, namun kementerian sepatutnya berusaha menambah baik dan memperkasa kepakaran mereka dengan menjalankan pelbagai libat urus secara diplomatik melalui agensi yang berkaitan dan bukannya membawa masuk agensi asing secara terus sebagai jalan pintas.  

Oleh itu, besarlah harapan saya agar kementerian mengkaji semula kewajaran langkah membawa masuk pakar asing ini dengan mendengar dan mengambil pandangan-pandangan yang dilontarkan pelbagai pihak berkaitan isu ini demi menjaga kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya. 

“Malaysia Sejahtera”

YB SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR
Ahli Parlimen Setiu – HARAKAHDAILY 25/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -