Ambil cuti kalau ada kes mahkamah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembangkang menggesa kerajaan membuat ketetapan berhubung pemilihan anggota pentadbiran negara yang terlibat dalam kes mahkamah.

- Advertisement -

Dato’ Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan pelantikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempunyai 47 kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Saya ingin merujuk satu petikan semasa Bagan Datuk belum dituduh di mahkamah pada tahun 2018, Pemuda Umno telah membuat satu kenyataan yang menggesa Zahid bercuti seketika.

“Ini gesaan pemuda partinya sendiri. Pemuda Umno dalam kenyataannya menyatakan: Pergerakan Pemuda Umno hari ini menggesa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mempertimbangkan untuk bercuti seketika daripada menjalankan tugas sebagai Presiden parti sehingga kesnya selesai.

“Bagi Pemuda, rehat menjalankan tugas bukan bererti beliau bersalah tetapi seharusnya diberi peluang untuk memfokuskan usaha membersihkan namanya di mahkamah dengan 45 tuduhan yang dihadapinya,” katanya membahaskan usul Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin yang Setiausaha Agung PAS berkata, ini menyebabkan pembangkang menggesa supaya kerajaan membuat ketetapan supaya anggota pentadbiran yang mempunyai kes di dalam mahkamah mengambil cuti.

“Ini juga yang dikatakan terhadap YB Bagan (Lim Guan Eng) dulu oleh MCA Pulau Pinang supaya bercuti dulu sementara kesnya selesai ,” katanya

Beliau yang juga Ketua Whip PN turut meminta panduan daripada kerajaan berhubung anggota pentadbiran yang berhak mendapat kawalan polis semasa menghadiri kes mahkamah.

“Satu perkara lagi yang kita nak, panduan daripada kerajaan, adakah anggota pentadbiran berhak mendapat kawalan polis (atau) boleh menggunakan kawalan polis semasa pergi menghadiri mahkamah apabila beliau berhadapan dengan kes (mahkamah),” katanya. – HARAKAHDAILY 21/2/2023

- Advertisement -