Tunai prinsip madani, beri hak kepada Kelantan

Syahir Sulaiman
- Advertisement -

IZINKAN saya mulakan perbahasan menyokong Usul Menjunjung Kasih Titah Tuanku dengan serangkap pantun.

- Advertisement -

Kuning emas warna istana,
Tersergam indah dipandang mata,
Menjunjung kasih Titah Diraja,
Memayungi rakyat setiap masa.

Terima kasih di atas peluang untuk saya menyampaikan ucapan sulung di Dewan yang mulia ini bersama ramai rakan-rakan yang baru termasuk sahabat saya daripada Bangi sebentar tadi. Dalam kesempatan ini pastinya saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada pengundi Parlimen P.025 Bachok khususnya pengundi- pengundi muda dan juga anak-anak perantau yang sanggup meredah kesesakan jalan, berjam-jam di atas jalan untuk pangkah satu undi sahaja dan balik memastikan kemenangan di Kelantan itu yang telah menunaikan tanggungjawab pada PRU15 yang lalu.

Saya berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan untuk berkhidmat dan membawa suara Bachok di Dewan yang mulia ini. Bachok turut menzahirkan menjunjung kasih kepada Tuanku di atas keprihatinan yang dizahirkan oleh Baginda terhadap golongan miskin di samping golongan petani, penternak dan nelayan supaya kerajaan terus mengambil langkah untuk meringankan beban kos pengeluaran makanan. Apatah lagi golongan ini sangat ramai di Bachok sebagai sebuah daerah pesisir pantai yang ramai golongan petani dan nelayan.

Justeru kami di Bachok di Kelantan ini khususnya amatlah mengharapkan penerusan program bantuan oleh pihak kerajaan tanpa menganaktirikan mana-mana pihak dalam bentuk elaun sara hidup, subsidi baja termasuk pada tanaman kontan dan bahan makanan termasuk sokongan pemasaran dan bimbingan usahawan. Banyak yang telah diperkatakan tentang pemulihan ekonomi, pemulihan negara secara atas. Maknanya kita di Dewan yang mulia ini mengutarakan pelbagai pandangan dan cadangan. Saya mahu mengajak, menarik perhatian Ahli-ahli Yang Berhormat untuk kita reverse dengan izin, proses ini untuk kita merenung ke bawah, mencerap dari bawah ke atas.

Kita belajar daripada golongan petani, nelayan dan penternak, bagaimana mereka memerah keringat mereka dan bagaimana kita boleh belajar daripada mereka untuk kita pulihkan negara yang kita kasihi ini. Tuan Yang di-Pertua, pada hemat saya jika kita perhatikan bagaimana golongan nelayan, petani dan penternak membanting tulang empat kerat kita akan perolehi banyak pelajaran untuk kita pulihkan ekonomi dan juga politik mahupun sosial negara kita. Yang pertamanya, jikalau kita lihat, bagaimana nelayan tidak akan turun ke laut seorang diri.

Tidak ada penanam padi yang jaga petaknya tanpa berpakat dengan petak-petak di sebelahnya. Maka di sini pentingnya kepada kita untuk pemulihan negara ini perlunya kepada suatu muafakat ekonomi dan muafakat politik, satu kerja berpasukan yang saling menyokong dan saling berlindung dan tidak menyisihkan apatah lagi memulau sesama sendiri. Inilah satu pelajaran yang sangat penting untuk kita ambil dan dalam konteks yang lebih besar, inilah prinsip federalism yang perlu dijunjung oleh kita semua.

Kerjasama ekonomi ini melibatkan di antara pihak kerajaan dan juga pihak swasta. Pihak kerajaan dan swasta perlu seiring. Pihak rakyat khususnya golongan B40 dan M40, orang-orang golongan yang bekerja di bandar khususnya menyambut baik inisiatif yang dibuat oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dengan Menu Rahmahnya. Akan tetapi timbul kegusaran dipihak peniaga bagaimana perkara ini boleh dipastikan kelestariannya dan memberikan keuntungan yang sama rata, win-win situation dengan izin, kepada pihak swasta.

Yang lebih penting ialah kerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Kita di Kelantan jikalau kita baca laporan yang terbaru oleh World Bank, kategorikan beberapa buah negeri sebagai negeri-negeri yang terkebelakang, yang ditinggalkan, lag behind dengan izin. Antaranya Kelantan, Sabah, Sarawak, Terengganu, Perlis dan juga Kedah. Jadi, hubungan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ini amatlah perlu di jalin dengan baik dan tidak ada sebarang unsur untuk menyisihkan mana-mana kerajaan negeri yang tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan. Bagi saya, kita dalam Dewan ini kita mengungkapkan Kerajaan Perpaduan, kerajaan madani.

Jadi ujian yang pertama kepada Kerajaan Perpaduan dan kerajaan madani ialah untuk memastikan prinsip ini ditunaikan dan bagaimana hak yang perlu ada, perlu diberikan kepada Kelantan. Kelantan sebagai sebuah negeri yang turut mempunyai sumber hidro karbon, sumber minyak dan gas. Akan tetapi sehingga ke hari ini, tidak dilunaskan secara telus pembayaran royalti petroleum 5 peratus yang termaktub dalam perjanjian dan juga termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.

Inilah bagi saya satu ujian yang pertama kepada kerajaan untuk memastikan perkara ini dapat dilunaskan dengan penuh takzim. Inilah legasi perjuangan yang ditinggalkan oleh Almarhum Nik Abdul Aziz untuk kita terus tunaikan dan laksanakan pada pemerintahan kali ini.

Seterusnya Kelantan turut perlukan banyak prasarana dan infrastruktur yang pastinya telah pun dimulakan pada pemerintahan yang terdahulu dan kita mengharapkan perkara-perkara seperti pembinaan lebuh raya yang mana anak-anak perantau ini balik kampung puluhan jam. Kalau orang biasa balik kampung dua, tiga, empat jam, kami berbelas-belas jam itu perkara yang biasa.

Projek tebatan banjir di Rantau Panjang, di Pasir Mas, di Tumpat. Benteng ombak di kawasan pesisir pantai dan pelaburan berimpak tinggi. Perkara-perkara ini perlu disegerakan kerana sudah lama yang tertangguh. Keduanya, perancangan yang teliti. Kita lihat bagaimana golongan petani, golongan nelayan ini mereka menyimpan hasil mereka ini kerana tahu ada dua, tiga bulan yang mereka tidak dapat menyimpan atau memungut hasil.

Maka di sinilah pelajaran kepada kita di peringkat yang lebih tinggi, perlunya ada perancangan kewangan yang teliti, perlunya ada disiplin fiskal dan kita perlu mengelak amalan berterusan kita ini berbelanja melebihi pendapatan. Sejak tahun 1998, kita berhutang kerana kita mahu berbelanja melebihi pendapatan dan ini perlu kepada kita berhemah dalam berbelanja. Untuk rekod, Bachok berkongsi kebimbangan Putrajaya dan juga Pagoh tentang wujudnya amalan nepotism, kronisme dan percanggahan kepentingan apabila Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan.

Untuk rekod, sebenarnya format jawatan ini bermula sejak tahun 1998 dan sejak itulah negara kita ini mengalami defisit fiskal setiap tahun, bertahun-tahun. Kemuncaknya yang dilaungkan oleh pihak sana dengan pelbagai ungkapan, timbul skandal 1MDB juga atas pemusatan kuasa yang sangat besar kepada seorang individu. Jikalau kita dapat lihat dari segi peruntukan bajet dan kewangan pun amat tinggi diberikan kepada seseorang apabila seseorang itu memegang jawatan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

Di Bachok saya tak jumpa pengerusi dan bendahari persatuan, nelayan baik, PIBG baik, masjid surau baik, adalah orang yang sama. Tidak ada syarikat yang CEO dan CFO nya orang yang sama tetapi kita hairan di Putrajaya kali ini Yang Berhormat Tambunlah CEO, Yang Berhormat Tambunlah CFO, Yang Berhormat Tambunlah pengerusi, Yang Berhormat Tambunlah bendahari. Jadi, ini bagi saya satu perkara yang amat melanggar dengan laungan reformasi dan satu contoh yang tidak baik kepada tata kelola di peringkat yang lebih rendah.

Seterusnya, Bachok menarik perhatian tentang perlunya kita meningkatkan produktiviti golongan belia dan golongan pekerja. Ini kita dapat lihat bagaimana golongan petani dan juga golongan nelayan. Mereka ini jikalau kita sebut golongan yang malas, tidak benar ungkapan tersebut ini kerana mereka ini turun rumah kadang-kadang itu sebelum Subuh lagi untuk membanting tulang empat kerat. Jadi, kita di peringkat pihak kerajaan khususnya perlu mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi dalam negara khususnya kepada golongan belia dan juga pekerja.

Kerajaan melalui KBS, Timbalan Menteri ada di sini, perlu fokus kepada aspek latihan kemahiran termasuklah TVET. Kami Ahli-ahli Parlimen muda di sebelah sini sedia untuk duduk semeja dengan pihak KBS untuk kita sama-sama merangka formula dan juga merangka program untuk kita meningkatkan tahap kualiti dan jati diri golongan belia sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat Kepala Batas dan juga Yang Berhormat Pasir Mas sebelum ini.

Seterusnya, saya ringkas-ringkaskan sahaja, persaingan yang sihat. Ini sangat penting kerana kita dapat lihat bagaimana peranan orang tengah yang memanipulasi pasaran. Jadi golongan petani, nelayan ini mereka akan terhimpit apabila golongan ini berperanan sangat besar untuk memanipulasi pasaran. Jadi, inilah antara pelajaran yang kita boleh ambil bahawa kita di peringkat yang lebih tinggi ini perlu ada komitmen untuk memecahkan segala bentuk manipulasi, monopoli, kartel dan kuota yang tidak telus, yang menjejaskan keseimbangan penawaran dan juga permintaan dalam pasaran.

Yang terakhirnya apa yang kita boleh belajar daripada golongan ini ialah ketentuan Ilahi. Divine intervention, dengan izin. Elemen keberkatan ekonomi dan juga negara. Kita dapat lihat bagaimana golongan nelayan, petani dan penternak ini hidup serba sederhana. Kami di Kelantan pun begitulah kehidupannya dan Kerajaan Negeri Kelantan pun begitulah kehidupannya. Kita boleh merancang dan melaksanakan segala langkah untuk memulihkan ekonomi, politik dan sosial negara. Namun perlu ada kebergantungan dan penyerahan kepada Allah SWT. Bak kata Tuanku, kita merancang Allah merancang. Allah sebaik-baik perancang.

Satu lagi aspek yang saya nak tarik perhatian Ahli-ahli Yang Berhormat ialah tentang kemiskinan kita hadapi pasca pandemik. Realiti kemiskinan pada hari ini walaupun setiap kali kerajaan mengumumkan angka rasmi kemiskinan sama ada di peringkat nasional mahupun di peringkat negeri dan daerah, statistik tersebut perlulah di cerakinkan. Persoalan terpenting adakah angka kemiskinan yang dilaporkan menggambarkan realiti sebenar golongan termiskin di bandar dan juga luar bandar.

Justeru langkah kerajaan untuk menyemak takrifan dan ukuran kemiskinan adalah langkah awal yang perlu di tambah baik supaya langkah mencegah menangani kemiskinan ini dapat di lakukan cara lebih efektif dan inklusif di seluruh negara. Penumpuan perlu diberikan kepada golongan terkebelakang melibatkan kemiskinan bandar, kemiskinan luar bandar, di samping golongan rentan yang diistilahkan sebagai kemiskinan situasi yang mereka ini asalnya tidak miskin. Asalnya ada kerja, ada kereta, ada keluarga tapi mereka jatuh miskin dalam sekelip mata akibat keadaan yang di luar jangka.

Diberhentikan kerja, hilang upaya, kemalangan dan seumpamanya ini. Maka perkara ini perlulah diberikan perhatian dengan satu mekanisme untuk kita menampan golongan yang tiba-tiba miskin ini. Apa yang penting adalah keberkesanan program menangani kemiskinan dalam jangka pendek, sederhana dan juga panjang melalui bantuan kebajikan, kewangan, kemahiran dan sistem sokongan yang menyeluruh melibatkan sinergi agensi kerajaan, swasta, baitulmal, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi masyarakat khususnya dalam mendepani suasana pasca pandemik yang makin mencabar.

Akhirnya, saya mohon perhatian pihak kerajaan untuk melihat aspek-aspek pembangunan sosial, ekonomi dan kebajikan warga Bachok di samping rakyat Kelantan khususnya, di samping program pembasmian kemiskinan tegar melalui pendekatan multidimensi di bawah tanggungjawab kelolaan Kementerian Ekonomi. Penambahbaikan prasarana pelancongan di pantai-pantai macam di Bachok ini banyaklah. Pantai-pantai yang perlu di pertambahan prasarana pelancongan di bawah tanggungjawab Kementerian KPKT dan juga Kementerian Pelancongan.

Untuk golongan petani dan nelayan, fasiliti jeti perikanan di Pantai Kemasin, di Pulau Bolongan dan Pantai Bharu perlulah diberikan perhatian di samping kajian untuk mengatasi kesesakan lalu lintas yang diharungi oleh anak-anak perantau dan juga anak-anak yang bekerja di luar untuk balik ke kampung halaman perlulah diberikan perhatian oleh pihak Kementerian Kerja Raya. Sekian, saya kira dari Bachok daerah yang kaya dengan kemiskinan namun tidak miskin dengan budi dan kebaikan.

Dari Jelawat ke Pantai Irama;
Singgah sebentar membeli suasa;
Kebajikan rakyat perlu dipelihara;
Ekonomi rakyat perlu diperkasa.
– HARAKAHDAILY 17/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 16 Februari 2023.

- Advertisement -