PERTAMA, Kepala Batas mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua atas ruang dan peluang yang diberikan untuk Kepala Batas membahaskan titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong bagi Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas ini.
Kedua, Kepala Batas mengucapkan setinggi penghargaan kepada pengundi Parlimen Kepala Batas di atas kepercayaan yang diberikan dengan memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat P.041 setelah berjaya menewaskan penyandang, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga seorang menteri parlimen sehingga digelar giant killer. Untuk rekod, kerusi Parlimen P.041 Kepala Batas juga merupakan kubu kuat Umno Barisan Nasional sejak tahun 1974.
Tajuk perbahasan saya ialah Kepala Batas Sejahtera.
Saya ingin menyentuh beberapa isu yang dilihat memerlukan perhatian sekarang ini:
Hospital Kepala Batas adalah hospital berpakar minor yang mempunyai 128 katil di tengah pusat pentadbiran Kepala Batas yang sedang pesat membangun. Merujuk kepada komposisi penduduk kepala batas yang semakin meningkat. Maka wajar pihak kementerian kesihatan menaik taraf hospital Kepala Batas kepada bertaraf major dengan memberi perhatian terhadap penambah baikkan mutu perkhidmatan dan keselesaan kepada rakyat terutamanya isu kesesakan di wad kecemasan.
Ini adalah berikutan setiap zon hanya mempunyai satu pegawai perubatan dan satu paramedik untuk menjaga pesakit yang kritikal dan separa kritikal sehingga boleh membawa kesan kepada mutu perkhidmatan kerana letih, lesu dan hilang fokus. Maka kami rakyat di Kepala Batas tertanya-tanya bilakah kemudahan perubatan dapat di naik taraf dan bilangan staff seperti pembantu perubatan dapat ditambah untuk penambah baikkan kualiti kesihatan rakyat khususnya dalam kalangan kumpulan B40 di parlimen ini dan berharap agar perkara ini akan dimasukkan kedalam bajet yang akan dibentangkan tidak lama lagi?
Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Bomba Daerah Seberang Perai Utara dan Ibu Pejabat Daerah Polis Seberang Perai Utara yang telah memberi kerjasama dalam perkongsian maklumat dan aspek kerjasama yang dapat dirancang dan dilaksana dalam usaha menjadikan Parlimen Kepala Batas sebuah parlimen yang selamat dan sejahtera untuk didiami selari dengan aspirasi Kepala Batas Sejahtera. Demi mencapai aspirasi ini, Kepala Batas meminta agar pihak kementerian yang berkait dapat segerakan penambahan bilangan anggota polis dan memperkasakan akta dalam melindungi penjawat awam bomba ketika bertugas agar apa yang berlaku terhadap arwah pegawai bomba Muhammad Adib dapat ditangani dengan lebih baik di masa hadapan.
Rancangan pembinaan dan pelaksanaan projek Taman Teknologi Pulau Pinang atau dengan izin ‘Penang Technology Park’ merupakan satu projek perindustrian yang mendapat tentangan dari penduduk kerana kawasan kediaman mereka bakal berada dalam Zon Kilang. Penduduk juga menekankan dengan tegas agar Kajian Impak Alam Sekitar (EIA), Kajian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Impak Lalulintas (TIA) perlu dipatuhi. Kebanjiran warga asing juga boleh menyebabkan ada usaha untuk membina semula asrama pekerja asing yang boleh memberi impak sosial yang negatif dan keselamatan penduduk. Membantah pembinaan asrama pekerja asing tanpa membantah pembinaan projek Penang Technology Park adalah satu sikap yang bersifat ala kadar seperti melepaskan batuk di tangga. Persoalannya ialah adakah terdapat jaminan bahawa hanya pekerja dan pakar tempatan yang akan diutamakan?
Rekod keputusan kajian yang dikeluarkan oleh sebuah organisasi antarabangsa Studocu telah menyenaraikan sebanyak lapan batang sungai dengan piawaian paling tercemar di negeri Pulau Pinang dan salah satu darinya ialah Sungai Kereh. Sungai yang terletak di Kampung Selamat, iaitu di sempadan antara parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor ini terkenal dengan isu pencemaran najis babi.
Merujuk kepada Utusan.com.my pada 19 Februari 2021, isu ini telah berlarutan sejak lebih 40 tahun yang lalu. Apakah komitmen dan peranan yang dapat dimainkan oleh pihak kerajaan dalam menangani isu ini? Tercemarnya sungai-sungai ini bererti semakin mengecil sumber air bersih yang boleh dibekalkan kepada rakyat negeri ini terutamanya di parlimen Kepala Batas. Isu ini juga menyebabkan Sungai Muda kini menjadi sumber air bersih yang sangat bernilai untuk negeri Pulau Pinang berikutan terdapatnya pertikaian tentang isu sumber air mentah antara negeri Pulau Pinang menentang Kedah. Kepala Batas berharap agar kementerian berkaitan dapat menjelaskan sempadan air sungai ini seperti sempadan perairan laut yang diukur dari pantai sebelum jarak yang ditentukan sebagai perairan antarabangsa.
Anak muda merupakan aset yang sangat bernilai untuk negara. Malah saya percaya bahawa undi anak muda adalah sebab kenapa sebahagian besar daripada kita para ahli parlimen berada di dalam dewan yang mulia hari ini. Di antara isu yang menghimpit generasi muda kini ialah pemilikan rumah. Nilai hartanah yang semakin mahal menyebabkan peluang untuk memiliki rumah adalah sangat-sangat terhad terutamanya di kawasan bandar. Sehubungan dengan itu saya memohon komitmen dari pihak kerajaan supaya lebih banyak projek perumahan PPR dan PRIMA dapat dilaksanakan di parlimen Kepala Batas dengan segera berikutan parlimen ini mula menjadi antara pilihan untuk didiami. Adakah projek perumahan PPR yang pertama di Parlimen Kepala Batas dapat dilaksanakan dengan kadar segera pada tahun ini?
Umum tahu bahawa Institut Pengajian Tinggi menjadikan sistem jam kredit pembelajaran sebagai salah satu aspek yang perlu diikuti oleh para pelajar. Sistem jam kredit ini sepatutnya tidak membebankan para pelajar dan lebih terarah dalam menyediakan para bakal graduan ini ke alam pekerjaan dan sistem kerja yang bakal dilalui nanti. Malah tesis atau kertas kajian para pelajar ini seharusnya menjadi kayu ukur dalam proses melahirkan anak muda sejahtera yang berilmu dan berdaya saing. Bagi mengurangkan lambakan graduan menganggur yang semakin bertambah, adakah kerjasama job placement dengan izin oleh pihak kerajaan di Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC dan agensi-agensi kerajaan terutamanya graduan dari IPTA dapat dilaksanakan untuk membantu anak muda mencari pengalaman kerja dan membina kerjaya?
Kos sara hidup para pelajar juga turut memainkan peranan dalam mengurangkan tekanan dan beban kehidupan di pusat pengajian tinggi. Secara purata, seorang pelajar biasanya akan makan sebanyak 3 kali sehari. Jika seorang pelajar berbelanja sebanyak lebih kurang RM5 untuk setiap kali makan, maka pelajar tersebut akan menghabiskan kira-kira sebanyak RM150 sebulan. Namun sebagai graduan yang pernah menimba ilmu di Universiti Al-Azhar, Mesir ini bukanlah satu jumlah yang realistik jika belajar di luar negara. Kiraan ini adalah berasaskan untuk satu orang anak, bagaimana jika terdapat lebih dari seorang anak yang sedang belajar di IPT samada awam atau swasta? Penambahan kos ini juga sebenarnya memberi kesan yang besar kepada kalangan ibu bapa dari golongan B40.
Berikutan terdapat cadangan untuk mengubah waktu bermula persekolahan ke jam 8 pagi, penilaian semula perlu dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memastikan produktiviti setiap pihak yang terbabit seperti para ibu bapa yang menghantar anak-anak, fokus para pelajar dan guru tidak terganggu. Saya percaya sistem persekolahan yang baik dapat memberi impak yang positif di antara ibu bapa dan pihak sekolah dalam membina generasi masa depan yang sejahtera.
Menyentuh sedikit mengenai pembangunan belia dan pemerkasaan wanita, dalam dunia celik IT masa kini, kita tidak boleh lari daripada membahaskan perkara ini dari sudut pandang media sosial. Hal ini kerana anak muda masa kini sangat rapat dengan aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok. Penggunaan aplikasi media sosial juga telah meningkat secara signifikan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakkan atau PKP kerana pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PDpR) secara atas talian.
Maka ia adalah sinonim jika anak muda masa kini yang turut merangkumi wanita muda lebih gemar berkarya atau berkongsi pandangan secara terbuka di aplikasi-aplikasi digital yang ada.
Dakwaan kebocoran data peribadi di laman web pangkalan data kerajaan yang berlaku di negeri Pulau Pinang baru-baru ini seperti yang dilaporkan akhbar Harian Metro telah menyebabkan ketirisan sebanyak 630,000 data maklumat. Data-data ini didakwa telah dimuat naik ke platform dalam talian Breach Forums oleh seorang pengguna dengan nama Leak Base pada 18 Januari 2023. Saya juga ingin tahu, apakah pendirian Menteri Komunikasi dan Digital berkenaan isu buli siber terhadap 3 Tiktoker wanita yang menghadapi serangan maklumat peribadi, komen-komen lucah dan body shaming? Janganlah bersikap double standard hanya kerana mereka ini penyokong Perikatan Nasional.
Bantuan geran kerajaan untuk program pemulihan dalam komuniti (PDK) bagi tahun 2022 hanya menampung elaun sehingga Januari 2023. Manakala bantuan geran kerajaan bagi tahun 2023 dijangka akan diterima pada Mac 2023. Kelewatan yang berlaku bagi bulan Februari 2023 menyebabkan PDK-PDK ini terpaksa menampung sendiri kos operasi pada bulan tersebut. Saya berharap pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dapat memberi perhatian terhadap isu ini agar bantuan geran kerajaan selepas ini tidak dilengahkan.
Saya ingin menarik perhatian dewan kepada dua perkara yang amat penting dalam membina jati diri belia dan memperkasa kaum wanita.
Pertama, apa usaha kerajaan untuk mengekang eksploitasi wanita di media sosial apabila banyak iklan dilihat mengeksploitasi tubuh badan wanita dan ayat-ayat berunsur lucah dan seksual? Kedua, sejauh manakah hasil siasatan dan tindakan yang telah direkodkan Suruhanjaya Komunikasi Media Malaysia (SKMM) terhadap laporan-laporan buli siber di aplikasi media sosial TikTok yang telah mendedahkan maklumat peribadi, komen-komen lucah dan menjijikkan serta dengan izin body shaming?
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan para menteri kerajaan bahawa kalian bertanggungjawab kepada semua rakyat Malaysia dan perlu bersikap adil pada tempatnya tanpa bersikap prejudis dan berat sebelah dan janganlah menggunakan apparatus kerajaan untuk menekan rakyat yang tidak sehaluan ideologi politik. – HARAKAHDAILY 17/2/2023
Petikan ucapan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Mohamad semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 16 Februari 2023.