Korban gempa hampiri 44,000: PBB rayu dana RM4.4 bilion

Visual pemandangan sekitar Hatay, Turkiye pada 15 Feb 2023. (FOTO: TRT World)
- Advertisement -

HATAY, Turkiye: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah melancarkan rayuan untuk dana AS$1 bilion (RM4.43 bilion) bagi membantu mangsa di Türkiye yang terjejas akibat gempa bumi dahsyat minggu lalu – yang telah meragut beribu-ribu nyawa dan berjuta-juta lagi terdesak memerlukan bantuan.

- Advertisement -

Pada hari ke-11 bencana gempa bumi ‘berkembar’ itu, angka kematian di Türkiye kini meningkat kepada 38,044, menjadikannya bencana paling maut di negara tersebut dalam tempoh 100 tahun, lapor TRT World.

Jumlah korban di Syria pula telah mencecah 5,814, menjadikan jumlah keseluruhan kematian di kedua-dua negara kepada 43,858.

Ini menjadikan bencana gempa bumi Turkiye-Syria 2023 berada dalam ‘Top 5’ gempa bumi paling maut di dunia pada abad ke-21 (antara tahun 2,000 hingga sekarang, 2023) – dari segi jumlah kematian.

Ia kini mengesahkan kedudukannya di tempat kelima dalam senarai tersebut selepas (dari tempat pertama hingga empat) gempa bumi Lautan Hindi 2004 pada tarikh 26 Dis yang meragut 230,000 nyawa; gempa bumi Haiti 2010 pada 12 Jan (160,000 maut); gempa bumi Sichuan, China 2008 bertarikh 12 Mei (87,587 terkorban); dan gempa bumi Kashmir, Pakistan 2005 pada 8 Okt (87,351 terbunuh). – HARAKAHDAILY 17/2/2023

- Advertisement -