Perkhidmatan kesihatan perlu ditingkatkan

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH saya kira setelah meneliti Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, ada beberapa perkara yang Kuala Langat ingin menyentuh dan ia juga mempunyai kepentingan di Kuala Langat.

- Advertisement -

Pertamanya, saya nak ucapkan terima kasih terutamanya kepada pengundi-pengundi Kuala Langat yang memberikan kepercayaan kepada saya dalam pilihan raya yang lalu untuk mewakili rakyat di Kuala Langat dalam Dewan Rakyat yang mulia ini.

Keduanya, saya juga ingin mengucapkan ucapan takziah kepada seluruh rakyat Turkiye dan Syria yang diuji dengan bencana gempa bumi yang mengorbankan begitu ramai nyawa. Semoga mereka tabah dan sentiasa bersyukur di atas apa juga ujian yang diturunkan oleh Allah SWT.

Jadi, saya kira ada beberapa perkara yang telah saya sebutkan tadi, terutamanya berkaitan dengan concern, dengan izin, Duli Yang Maha Mulia Tuanku tentang kesihatan dan saya kira ini sangat mempunyai kepentingan di kawasan daerah Kuala Langat itu sendiri. Kita tidak nafikan bahawa bencana alam, ragam iklim dan perselisihan perang kuasa besar antara Barat dan juga China dan juga Rusia-Ukraine, dan pandemik Covid-19, bencana yang telah sangat memberikan kesan kepada ekonomi di negara kita.

Kita tidak juga boleh menafikan bahawa pandemik Covid-19 ini telah memberikan satu muhasabah kepada negara kita bagaimana hakikatnya keadaan perkhidmatan kesihatan di negara kita hampir-hampir lumpuh. Menjadi pengajaran kepada kerajaan pada hari ini untuk melihat kepada satu solusi untuk menangani perkhidmatan kesihatan di negara kita.

Alhamdulillah, salah satu kejayaan yang tidak boleh dinafikan yang ditunjukkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini, yang diketuai oleh Yang Berhormat Pagoh dan juga Yang Berhormat Bera bagi menangani masalah bencana Covid-19 adalah melalui program vaksinasi. Alhamdulillah kita telah terkeluar walaupun masih lagi berlaku jangkitan Covid-19 di negara kita.

Dalam ucapan Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, bagaimana penekanan untuk memperkukuhkan kesihatan awam dengan melihat peningkatan beban penyakit berjangkit dan tidak berjangkit yang saya kira memakan kos yang begitu besar. Laporan KKM dan WHO berdasarkan data pada tahun 2017, kos langsung penjagaan kesihatan diabetes, penyakit kardiovaskular dan kanser mencecah hampir RM10 bilion setahun. Diabetes menduduki tempat pertama dengan kos yang dibelanjakan lebih daripada RM4 bilion, kardiovaskular hampir RM4 bilion dan kanser RM1.3 bilion.

Ini sebagai contoh bagaimana perbelanjaan yang besar perlu diperuntukkan untuk mempertingkatkan ataupun memperkukuhkan kesihatan awam. Hatta, kalau kita hendak sebut pesakit kegagalan buah pinggang atau end-stage renal failure meningkat daripada 49,000 pesakit pada tahun 2020 dan dijangkakan lebih daripada 100,000 orang pada tahun 2040.

Ini memerlukan peruntukan yang mencukupi. Kalau kita lihat bajet perkhidmatan kesihatan yang disarankan oleh WHO, sekurang-kurangnya enam peratus dan saya lihat bajet pada tahun 2023 yang tidak sempat diluluskan tempoh hari melebihi daripada enam peratus ataupun lebih kurang enam peratus. Ini adalah satu bajet yang sangat diharapkan. Walaupun bukan hanya sekadar peratusan bajet, tetapi jumlah peruntukan yang diuntukkan itu sebenarnya adalah lebih mempunyai manifestasinya.

Saya suka melihat kepada Manifesto Pakatan Harapan pada PRU15. Salah satunya ialah untuk meningkatkan belanjawan kesihatan awam kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dalam tempoh lima tahun agar ia selaras dengan perkembangan populasi negara, pertambahan jangka hayat rakyat dan keperluan semasa. Saya harapkan ada pendetilan-pendetilan dan juga hala tuju yang dirancang oleh kerajaan pada hari ini.

Saya melihat bagaimana keperluan infrastruktur terutamanya prasarana hospital-hospital yang sebahagian besarnya di dalam negara kita masih lagi berada dalam keadaan yang tidak selamat. Ini sebab berlaku kebakaran di hospital-hospital. Berlaku hospital bila banjir pun air masuk ke hospital dan memusnahkan peralatan-peralatan. Saya kira ini perkara yang sangat penting. Oleh sebab itulah, saya merasakan tidak tertinggal di Kuala Langat yang kita ada sebuah hospital yang sudah begitu lama. Hospital Banting yang mana ia merupakan satu-satunya hospital sekunder yang wujud di Kuala Langat dan tiada hospital swasta yang memberikan perkhidmatan yang lengkap.

Oleh sebab itu, saya kira ini antara beberapa justifikasi yang harus dilihat supaya Hospital Banting ini juga akan diletakkan sebagai salah satu hospital yang akan dinaiktarafkan supaya bertepatan dengan keperluan untuk penduduk di kawasan Kuala Langat itu sendiri.

Hari ini penduduk Kuala Langat sudah berada dalam sekitar 342,000 orang. Kalau kita lihat beds to population ratio, 2.08 beds for 1,000 population by 2025, Bahagian Perancangan KKM. Total bed needed di Kuala Langat adalah 712 beds yang mana pada hari ini hanya sekadar dual capacity 212 buah katil. Jadi…

Tuan Roslan Hashim [Kulim Bandar Baharu]: Yang Berhormat Kuala Langat, minta laluan boleh? Sedikit. Terima kasih kepada Yang Berhormat Kuala Langat. Saya hendak bertanya kepada Yang Berhormat Kuala Langat iaitu tentang kesihatan tadi di mana bukan sahaja peruntukan yang kita minta untuk membaik pulih hospital, tetapi juga saya hendak mencadangkan juga kepada Yang Berhormat Kuala Langat, adakah bersetuju di mana masa untuk seorang pesakit itu juga diambil kira supaya tidak menunggu terlalu lama?

Keadaan ini di mana baru-baru ini viral, di mana pesakit warga emas yang datang ke hospital pada pukul 1.45 pagi untuk mendapatkan rawatan dan duduk di Bahagian Kecemasan dan Trauma. Akhirnya sampai pukul 4 pagi belum lagi mendapat sebarang rawatan. Akhirnya pergi ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan. Jadi, adakah Yang Berhormat Kuala Langat bersetuju supaya bukan sahaja daripada segi hospital dinaik taraf, tetapi daripada segi menunggu untuk mendapatkan rawatan juga perlu dipendekkan supaya kita mendapat satu rawatan ataupun perkhidmatan yang terbaik? Terima kasih.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi [Kuala Langat]: Terima kasih Yang Berhormat Kulim-Bandar Baharu. Saya ingat ini antara beberapa perkara yang harus dilihat oleh kerajaan bagaimana bukan hanya sekadar infrastruktur yang saya sebutkan tadi, tetapi juga melibatkan soal keperluan tenaga doktor, jururawat, paramedik, kumpulan sokongan yang harus dilihat bagaimana keperluan hari ini sudah tidak sama mungkin dengan 10 atau 20 tahun yang lalu ataupun kemudahan-kemudahan yang lain untuk diagnosis, kemudahan-kemudahan peralatan. Ini harus dilihat secara keseluruhan.

Oleh sebab itu, saya kira realitinya mungkin bukan sahaja di Selangor sebagai sebuah negeri maju, tetapi di negeri-negeri yang lain. Perlunya peningkatan perkhidmatan termasuklah di hospital-hospital ini supaya akhirnya masa menunggu itu dapat dipendekkan dan rakyat dapat diberikan perkhidmatan yang terbaik.

Oleh sebab itu, saya merasakan antara isu kekurangan ataupun ramai di antara penjawat-penjawat ataupun doktor, paramedik dan kumpulan sokongan yang mula keluar dari hospital awam ini. Ini harus dilihat dengan secara serius. Begitu juga dengan isu doktor-doktor kontrak yang sebahagian besarnya mereka juga keluar daripada perkhidmatan awam pada hari ini sebab antara alasannya sebab tidak dapat jawatan tetap.

Walaupun ada usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini, Kerajaan Perikatan Nasional telah memberikan jawatan tetap lebih daripada 4,000 orang. Kemudian baru-baru ini pun kita dengar ada perjawatan lagi yang diberikan, untuk dilakukan temu duga pada 4,000 orang doktor siswazah. Saya kira ini antara inisiatif-inisiatif yang sangat baik.

Oleh sebab itu, saya melihat bahawa pengukuhan perkhidmatan kesihatan ini tidak harus dilihat dari sudut…

Datuk Willie anak Mongin [Puncak Borneo]: Yang Berhormat Kuala Langat, saya amat tertarik dengan perkongsian mengenai permasalahan dengan aspek kesihatan negara kita. Saya hendak bertanya kepada Yang Berhormat Kuala Langat, setujukah kalau sekiranya kerajaan melalui Kementerian Kesihatan memberi perkhidmatan dialisis secara percuma kepada seluruh pesakit buah pinggang ini kerana kos dialisis sekarang ini sudah meningkat? Setiap kali pergi membuat rawatan dialisis ini sekurang-kurangnya dalam RM200 hingga RM300. Jadi, saya rasakan itu amat membebankan. Jadi, saya rasa ada baiknya Kerajaan Madani ini memberi rawatan percuma kepada pesakit-pesakit dialisis ini.

Kedua, kebanyakan doktor-doktor kerajaan ketika ini banyak yang bersara awal dan salah satu daripada sebabnya bersara awal adalah disebabkan oleh kemurungan doktor-doktor ini. Kerja stres, kerja panjang. Kadang-kadang pasangan tidak berdekatan dengan mereka. Jadi, setujukah Yang Berhormat Kuala Langat supaya perkara ini diperhalusi untuk menyantuni kebajikan dan juga memberi ruang kepada mereka bekerja dengan lebih sejahtera? Terima kasih.

Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi [Kuala Langat]: Terima kasih, saya ingat saya sangat bersetuju. Kuala Langat, Kuala Selangor depan Yang Berhormat.

Jadi, saya kira termasuk kalau disebutkan perkhidmatan dialisis ini saya sangat setuju. Walaupun mungkin di peringkat perkhidmatan awam ataupun di hospital-hospital kerajaan ini jumlahnya begitu besar pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan hemodialisis. Mereka terpaksa keluar mencari pusat-pusat hemodialisis dan kosnya terlalu besar.

Saya melihat bahawa perlu juga ada inisiatif daripada kerajaan sendiri bagaimana untuk memperbesarkan lagi khidmat dialisis di hospital-hospital kerajaan ini kerana kalau tidak, saya ingat ini akan memberikan satu kepayahan kepada rakyat terutama kepada kumpulan B40.

Jadi selain daripada itu juga, saya kira apa yang dititahkan oleh Duli Maha Mulia Tuanku adalah berkaitan dengan peningkatan populasi rakyat semakin menua dan penyediaan perkhidmatan warga tua. Saya kira mereka – kalau peningkatan lebih kurang dalam 15 peratus warga tua di negara kita pada hari ini, mereka ini adalah golongan yang harus diberikan penekanan daripada sudut kesihatan.

Hari ini kita ada Kelab Warga Emas yang saya kira antara objektif Kelab Warga Emas ini adalah untuk mengenal pasti tanggungjawab komuniti dan penjagaan kesihatan warga emas. Saya ingat kalau kita rujuk pada tahun 2017, ada 233 buah Kelab Warga Emas yang bernaung di bawah klinik kesihatan induk di seluruh Malaysia. Saya hendak bertanya kepada Menteri Kesihatan, apakah statusnya Kelab Warga Emas ini pada hari ini? Sepatutnya mereka ini mendapat pertimbangan yang sebaik-baiknya dari sudut perkhidmatan kesihatan di dalam negara kita.

Selain daripada itu, saya juga ingin menyentuh berkaitan apa yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkaitan dengan peningkatan penyakit mental. Hari ini Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan seramai 4.2 juta rakyat yang kira-kira 29.3 peratus penduduk negara kita yang berusia 19 tahun ke atas mengalami masalah mental. WHO melaporkan hampir separuh daripada semua jenis penyakit mental bermula seawal umur 14 tahun kerana tidak dapat dikesan dan mendapat rawatan pada peringkat awal.

Oleh sebab itu, saya kira khusus penekanan soal pengesanan awal pesakit-pesakit mental terutamanya di kalangan remaja-remaja kita ini dalam keadaan suasana kehidupan yang pada hari ini menekan harus ada satu usaha supaya akhirnya kita dapat mengurangkan jumlah pesakit mental.

Saya cukup terkesan apabila baru-baru ini kita mendapat laporan di Hospital Selayang, kalau tidak silap saya, bagaimana disebabkan oleh kesesakan yang begitu teruk berlaku di hospital, ada pesakit mental yang telah menikam pesakit biasa yang akhirnya ia memberikan satu kegusaran kepada pesakit-pesakit ataupun keadaan suasana hospital yang begitu padat dengan pesakit-pesakit. Ini harus diambil dengan sebaiknya. –  HARAKAHDAILY 16/2/2023

Petikan ucapan Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 15 Februari 2023.

- Advertisement -