Bagaimana ‘suasana’ Islam wujud di Kelantan?

Walau suatu ketika pernah kekurangan ustaz ustazah Pendidikan Islam di sekolah

- Advertisement -

TAMADUN yang pernah wujud di atas muka bumi ini begitu menyedari betapa kelangsungan dan pencapaian dalam banyak aspek kehidupan adalah sangat berasas dari pengetahuan atau ilmu.

Ini bererti, bidang pendidikan merupakan teras lembut hingga terbentuk segala tapak dan struktur dalam penerokaan, penemuan, pembangunan, pembinaan dan teknologi yang pesat, hebat dan teguh.

Kerana memahami hal itulah, negara ini pasca-Merdeka telah meletakkan pendidikan sebagai bidang keutamaan di mana bahagian besar kek Belanjawan Negara diperuntukkan kepadanya.

Namun, politik telah mempengaruhi serta mengubah kepentingan pendidikan di mana peruntukan kewangan ke atasnya semakin mengecil berbanding luas dan besar keperluan saiz perkhidmatannya dengan perkembangan masa.

Sebaliknya bidang pendidikan telah dijadikan peluang dan kesempatan dalam meraih laba besar menjana keuntungan kewangan dan kekayaan apabila ia dijadikan sebagai sebahagian perniagaan.

Akibatnya, kerajaan hilang fokus kepada usaha memenuhi tuntutan atau tujuan pendidikan negara, tetapi para politikus berlumba-lumba terlibat dalam bidang pendidikan untuk menerkam duit.

Kesannya, di sekolah rendah dan menengah timbul begitu banyak isu atau bebanan berkaitan pengurusan atau pentadbiran, di mana para gurulah yang terpaksa menanggung atau menangani semua itu.

Masalah telah membelenggu sekian lama ini bahkan terjadi di semua negeri dan daerah, tetapi lebih-lebih lagilah negeri yang sememangnya dianaktiri serta dimomokkan mundur dan miskin seperti Kelantan.

Sedangkan jika kerajaan selaku pemerintah benar-benar memiliki matlamat jelas ke arah membangunkan negara, maka menerusi pendidikanlah sepatutnya mereka ‘keluarkan’ Kelantan dari mundur dan miskin itu.

Tetapi jika di negeri lainpun isu dihadapi kekal berkemelut, sudah tentu di Kelantan tergamak diabaikan sahaja tanpa diusahakan untuk keperluannya dipenuhi atau diselesaikan dari berterusan berlaku.

Contohnya masalah kekurangan guru subjek atau mata pelajaran tertentu, namun sepertimana juga negeri-negeri lain, untuk para pengajar berkenaan masuk mengisi di Kelantan tidak dapat dilaksanakan.

Ia disebabkan kuota ditetapkan kementerian telah penuh yang menjadi antara ‘kayu pengukur’ terang dan jelas betapa pemerintah sebelum ini tidak memperkasakan pendidikan selaras keperluan semasa.

Iktibar pengalaman Kelantan

Satu keadaan unik yang boleh dijadikan pengalaman berguna dalam banyak aspek adalah dari masalah pernah dialami Kelantan satu ketika di mana kekurangan ustaz ustazah Pendidikan Islam.

Namun, negeri ini terbukti berjaya melahir dan membentuk rakyat yang beramal dengan baik agamanya dalam kehidupan harian kerana dipengaruhi oleh persekitaran serta pemerintah kerajaan.

Pemimpin politik yang mentadbir urus dengan membawa dasar Membangun Bersama Islam telah menunjukkan bahawa mereka memiliki matlamat jelas dalam memacu masa depan negeri.

Diketuai ulamak dan semangat ‘Kepimpinan Ulamak‘ secara kolektif di mana ajaran atau mesej Islam berjaya sampai kepada rakyat hingga terbentuk ‘cara hidup’ dan ‘suasana’ menerusi pemerintahan.

Maka biarpun di sekolah berlaku kekurangan ustaz ustazah, tetapi apabila guru sebagai rakyat yang berada di dalam negeri ini telah terbangun dengan peribadi Islam, maka merekalah secara tidak langsung memberikan ajaran agama.

Kekurangan ustaz ustazah mungkin menyebabkan murid atau pelajar mengikuti subjek Pendidikan Islam dengan jam tidak mencukupi dari ketetapan, tetapi agama tetap terbangun dalam diri mereka.

Inilah hasil dari pemimpin yang menerajui pemerintahan kerajaan dengan memiliki dasar dan matlamat jelas di mana kekurangan seumpama itu akan tertampung secara kemasyarakatannya.

Apatah lagi apabila Kerajaan Negeri Kelantan menggembleng pembangunan pendidikan berteraskan agama dengan mewujudkan institusi pengajian tinggi, sekolah, pondok dan tahfiz sendiri menerusi Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Ianya telah memartabat dan memperkasakan lagi Islam dalam kehidupan rakyat dan pembangunan negeri hingga wujud ‘suasana’ sedang dinikmati pada hari ini di bumi Serambi Makkah ini.

Pencapaian ini harapnya sedia diterima sebagai teladan oleh Kerajaan-kerajaan Negeri lainnya, termasuk Kerajaan Persekutuan dalam mendepani masalah atau isu seumpama yang berlaku.

Jangan hanya jadikan sesuatu rujukan, dasar, matlamat atau pendekatan itu sekadar teori, retorik dan slogan puitis serta indah tanpa mematuhi atau berpandukan ia dengan sebaik-baiknya.

Jika tidak, kacau-bilaulah ia sepertimana penerimaan terhadap madani dan rahmah yang dilaung kempenkan kerajaan baharu ketika ini, tetapi jauh dari mengisi atau menurut hakikat sebenar.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 16/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -