Rasuah: Pastikan jaminan perlindungan pemberi maklumat

- Advertisement -

HARI kedua Sidang Dewan. Saya tiba awal. Tapi Ketua Whip PN lagi awal dari saya. 

Setiap hari Selasa dijadualkan untuk sesi PMQT. Hari ini saya berpeluang tanyakan soalan tambahan kepada YAB Perdana Menteri sewaktu PMQT (Waktu pertanyaan kepada Perdana Menteri) berkaitan dengan agenda penambahbaikan banteras rasuah.

Saya tanyakan mengenai tekad, iltizam dan komitmen beliau sebagai Perdana Menteri untuk melaksanakan pindaan Peruntukan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang dikatakan lemah dan perlu dipinda segera.

Ini adalah sebagaimana syor dan cadangan dari Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governan dan Anti Rasuah pada 5 Oktober 2022 yang lalu. Kelemahan peruntukan sedia ada membantutkan usaha pembanterasan rasuah untuk bergerak secara telus di negara ini.

Malah di dalam Manifesto Pakatan Harapan ada dinyatakan berkenaan komitmen untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat:

“…Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat Meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi membolehkan pemberi maklumat mendedahkan penyelewengan secara terus ke media. Pindaan yang dilaksanakan dengan kadar segera akan membentuk sebuah mekanisma kawalan terhadap isu integriti dan sebarang ketirisan yang boleh merugikan negara boleh disekat di peringkat awal lagi…”.

YAB Perdana Menteri dan kerajaan seharusnya memastikan pemberi maklumat tidak sepatutnya dijadikan mangsa dan merasa takut akibat pendedahan tersebut. 

Saya berharap YAB Perdana Menteri akan benar-benar tekad dengan jawapan yang diberikan bahawa akta ini akan dibentang pada sesi Dewan yang akan datang. 

Ini adalah kerana segala kata-kata tekad akan hanya menjadi retorik sekiranya usaha menjaga dan memberi keadilan kepada pelapor tidak ditambah baikkan kerana jelas berlaku ketidakadilan terhadap pelapor.

YB DATUK WIRA MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Ahli Parlimen Masjid Tanah – HARAKAHDAILY 14/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -