Mungkinkah Arsenal tersungkur?

- Advertisement -

PADA 22 Januari lepas, Arsenal telah mengalahkan Manchester United 3-2 di Etihad dan ketika itu laluan mereka untuk menjadi juara Liga Perdana Inggeris (EPL) kelihatan susah untuk dicabar oleh mana-mana kelab lain.

Tetapi pada 4 Februari mereka telah tewas 0-1 kepada kelab yang diancam penyingkiran ke Championship, Everton. Seminggu selepas itu mereka hanya seri 1-1 dengan satu lagi kelab London, Brentford. Dua keputusan yang amat mengejutkan.

Walaupun mereka masih berada di puncak liga namun mereka hanya 3 mata di hadapan kelab di tempat kedua, Manchester City. Sebelum ini Arsenal berada 8 mata di hadapan dan kelihatan susah untuk digugat.

City akan bertemu Arsenal minggu ini dan berpeluang memintas mereka jika menang kerana perbezaan gol City (34) lebih dari Arsenal (28). Walaupun City bermain lebih satu perlawanan (22) dari Arsenal (21) tetapi setelah Arsenal kalah kepada Everton, apa sahaja boleh berlaku.

Persoalannya adakah Arsenal akan dapat mengekalkan kedudukan mereka dan ditabalkan juara buat pertama kali dalam masa 20 tahun? Pernahkah kelab yang mendahului liga pada bulan Februari gagal menjadi juara? Kita semak balik sejarah.

Sejak EPL ditubuhkan pada musim 1992/93, telah berlaku 14 kali di mana kelab yang mendahului pada bulan Disember gagal memenangi liga. Mungkin bilangan kelab yang mendahului pada bulan Februari dan gagal kurang dari itu tetapi realitinya pendahulu liga pada awal tahun belum tentu akan menjadi juara.

Kelab-kelab tersebut adalah Liverpool (1996/97, 2013/14, 2018/19, 2020/21), Manchester United (1997/98, 2003/04), Arsenal (2002/03, 2007/08), Newcastle (1995/96, 2001/02), Aston Villa (1998/99), Leeds (1999/2000) dan Norwich City (1992/93).

Yang paling malang di antara kelab-kelab tersebut adalah Newcastle pada musim 1995/96. Kelab yang ketika itu dipimpin oleh bekas kapten England Kevin Keegan memenangi 8 dari 9 perlawanan pembukaan musim tersebut. Mereka mendahului dengan 10 mata pada bulan Januari dan 12 mata pada akhir bulan Januari dan kelihatan hampir pasti menjadi juara. Tetapi mulai bulan Februari mereka tewas 5 kali berturut-turut dan Manchester United berjaya memintas mereka untuk memenangi liga.

Hari ini Arsenal hanya berada di hadapan dengan 3 mata. Jika Newcastle dengan 12 mata kecundang, peluang Arsenal masih belum pasti. Walau bagaimanapun kelab London itu pernah kecewa 2 kali sebelum ini. Pengalaman tersebut sudah tentu akan membuat mereka lebih berhati-hati kali ini.

Pada musim 2002/03, sebagai juara bertahan mereka kelihatan yakin untuk mempertahankan kejuaraan mereka apabila berada di puncak liga pada akhir bulan Disember. Tetapi kebangkitan Manchester United pada tahun baharu melihat Red Devils akhirnya meninggalkan Arsenal dengan 5 mata untuk menjadi juara.

Sementara pada musim 2007/08, Arsenal bermula garang dengan hanya kalah sekali pada 30 perlawanan pertama mereka. Mereka masih berada di tempat pertama pada akhir bulan Februari. Tetapi kecederaan kepada pemain Brazil, Eduardo, di Birmingham mengakibatkan prestasi mereka merudum dan tewas 5 perlawanan berturut-turut. Walaupun kalah hanya 3 kali musim tersebut, Arsenal hanya menduduki tempat ketiga. Sekali lagi Manchester United memintas mereka untuk muncul juara.

Tetapi nasib Arsenal masih berada di tangan mereka. Jika mereka kalah kepada City pada 15 Februari ini dan dipintas oleh City namun mereka masih berpeluang untuk kembali ke puncak liga kerana mereka bermain kurang satu perlawanan. Walhal City mengharapkan Arsenal kehilangan mata pada baki 17 perlawanan mereka untuk menjadi juara. 

Kedua-dua kelab ini dikatakan tidak akan menghadapi masalah pada baki perlawanan-perlawanan mereka. Selain dari bertemu sesama sendiri (15 Februari di Emirates dan 26 April di Etihad), mereka akan bertemu dengan kelab-kelab ‘top 5’ hanya sekali. Kedua-dua mereka akan bertemu dengan Newcastle.

Walau bagaimanapun tidak semestinya kelab-kelab bukan ‘Top 5’ tidak akan memberi tentangan yang hebat. Kelab-kelab yang diancam penyingkiran sudah tentu akan bermain untuk survival mereka. Arsenal sudah tentu memahaminya apabila tewas kepada Everton awal bulan ini.

Satu kelab yang akan memberi tentangan kepada 2 kelab ini adalah Liverpool yang setelah mengalahkan Everton 2-0 malam tadi dilihat mampu bangkit semula. Arsenal akan berhadapan dengan Liverpool pada 8 April di Anfield iaitu di tempat lawan.

Sementara City akan bertemu Liverpool di stadium sendiri pada 1 April. Justeru kelebihan adalah pada City. Mungkin perlawanan menentang Liverpool akan menentukan juara liga musim ini. Liverpool sudah tentu akan berhempas pulas untuk layak ke Eropah musim hadapan. Kelab Merseyside itu tidak akan menjadi juara kali ini tapi boleh menjadi ‘spoiler‘.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
14 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 14/2/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!