Penduduk kecewa janji manis tidak dikota sekian lama

- Advertisement -

TERIMA kasih buat Imam Mustafa dan penduduk Kampung Batu Balak yang sangat mesra menerima kehadiran saya.

- Advertisement -

Maklum balas ketika pilihan raya umum (PRU) lepas adalah penduduk kampung ini makin berkurangan. Anak-anak muda keluar merantau dan tidak berhasrat pulang semula bekerja di sini. Pasti ayah dan ibu merindui anak-anak mereka yang telah berhijrah mengejar mimpi mereka.

Apabila Imam Mustafa mula bercerita masalah yang dihadapi oleh mereka, saya akui agak sukar menghalang generasi muda berhijrah. Apa sebenarnya faktor menolak anak-anak muda ini berhijrah?

Antara faktor penghijrahan mereka adalah kerana kemudahan infrastruktur asas yang terkebelakang seperti tiada jalan raya yang sempurna untuk keluar masuk di Kampung Batu Balak. Bagi mereka, cukuplah semasa kecil mereka merasa susahnya untuk keluar dan masuk ke kampung mereka. Sampai bila harus mereka hadap jalan yang tidak sempurna ini?

15 km jalan masuk yang tidak berturap bukanlah jarak yang dekat!

Itupun nasib baik pihak Risda sediakan crusher run untuk menurap jalan tanah merah supaya lebih selamat bagi kenderaan orang kampung keluar masuk berurusan di luar.

Selain jalan darat, penduduk juga menggunakan pengangkutan air atau bot untuk urusan harian mereka.

Imam Mustafa dan Encik Khairil@Angah telah mewakili Tok Empat di sini yang sedang menunaikan ibadan umrah untuk menerangkan kepada saya masalah-masalah yang mereka hadapi sejak sekian lama. Imam ada menyatakan bahawa sumber air juga bermasalah di sini.

Saya harus akui penduduk di sini sememangnya hebat kerana tetap memberikan senyuman manis dan mesra kepada tetamu walaupun sebenarnya banyak cabaran yang sedang mereka hadapi dalam meneruskan kehidupan sebagai anak kampung.

Saya tidak menabur janji kosong tetapi akan berusaha sehabis baik mengangkat permasalahan kampung yang terletak di Kuala Tembeling ini.

Penduduk di sini berasa lelah dan kecewa dengan pelbagai janji manis yang tidak dikota sejak sekian lama. Bagi saya, jika dari dulu lagi, setiap tahun dapat diturap satu kilometer jalan masuk utama di sini, pasti masalah ini telah lama berakhir!

Ir Ts KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ahli Parlimen Jerantut
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 11/2/2023

- Advertisement -