Anwar kembali ke sarang

- Advertisement -

HAMPIR suku abad (25 tahun) selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim terpelanting daripada Umno, kelmarin beliau telah kembali semula ke sarang. Pada tahun 1998, 25 tahun yang lalu, selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno, Anwar telah dipecat daripada Umno. Penyokong-penyokong Anwar ketika itu, berhimpun di PWTC (nama lama bagi WTC) membantah pemecatan Anwar. Selepas itu, Anwar melancarkan gerakan reformasi ke seluruh negara.

Setelah terpelanting daripada Umno, Pejabat Umno telah ditinggalkan oleh Anwar, dan Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar yang ketika itu menempatkan Pejabat Agung PAS menjadi tempat ‘berteduh’ pendukung-pendukung reformasi untuk membela Anwar. Di Markaz Tarbiyah PAS itulah, GERAK beroperasi lalu menggembleng keprihatinan rakyat untuk menumbangkan rejim Dr Mahathir Mohamad. Perhimpunan demi perhimpunan dianjurkan di situ.

Setelah 25 tahun meninggalkan bangunan Umno, Anwar kini kembali semula ke bangunan tersebut. Beliau kembali untuk mempengerusikan satu gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan pada hari ini. Biarpun sepanjang 25 tahun sebelum ini, bangunan tersebut menjadi saksi kecaman perwakilan-perwakilan Perhimpunan Agung Umno terhadap Anwar, hari ini kecaman sudah berubah menjadi pujian. Anwar kembali dengan persis seorang jagoan yang bakal memimpin Umno semula.

Masih ramai pimpinan, bekas pimpinan, ahli dan bekas ahli Umno yang berterusan tidak boleh menerima Anwar. Mereka yang tidak boleh menerima Anwar, adalah yang telah terpelanting dari Umno dan ada juga yang bakal terpelanting dari Umno. Sesiapa yang tidak bisa menukar kecaman kepada pujian, boleh sahaja terpelanting selepas ini. Episod politik yang baru berlaku di Bangunan Umno kelmarin, boleh jadi adalah episod penamat, dan pemenangnya adalah siapa ya?

DR MOHD ZUHDI MARSUKI – HARAKAHDAILY 9/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -