Reformasi jangan dimatikan, tetapi ‘reset’ semula

- Advertisement -

JANGAN matikan Reformasi. Tapi perbaharuilah reformasi. Reset reformasi.

Walaupun reformasi lebih sinonim dengan Perdana Menteri ke-10, tapi kalau dia tak mampu nak reform negara bila dah dapat kuasa, semangat untuk reform tak sepatutnya padam.

Negara masih perlukan reformasi. Dunia masih perlukannya.

Kalau dan alergi dengan istilah retorik reformasi, boleh guna istilah yang popular zaman COVID-19 dulu: Reset.

Bila sistem politik moden hari ini makin mengheret dunia ke arah ketidakstabilan, perlu reset sistem politik ini. Jangan terlalu jumud dengan demokrasi Barat semata-mata. 

Reset demokrasi ke arah yang lebih stabil. Inilah masanya melihat kepada pendekatan syura yang bertunjangkan merit dan baiah bagi memperbaharui demokrasi yang semakin pincang.

Bila sistem ekonomi moden tak mampu kekang inflasi dan sara hidup, perlu reset sistem ini. Jangan terlalu dikongkong dengan polisi fiskal dan monetari.

Reset ekonomi ke arah yang lebih makmur. Inilah masanya untuk melihat iqtisad Islam yang berpandukan tiada riba, judi dan gharar bagi memperbaharui ekonomi liberal-kapitalis yang semakin merudum.

Bila sistem sosial yang ada tak mampu menjaga keharmonian dan kualiti insan yang cemerlang, perlu sistem ini. Jangan terlalu kolot dengan slogan hak asasi dan kebebasan individu.

Inilah masanya untuk melihat konsep wasatiyyah Islam yang bertunjang ubudiyyah dan ijtimaiyyah bagi mengganti ideologi liberal yang semakin meliar.

Kita sudah boleh ambil ibrah, bahawa reformasi yang dilaung selama ini hanyalah retorik. Hanya untuk memangkin semangat tanpa asas yang kukuh. Sekadar laungan ke pangkal halkum namun tak sampai di akal dan jiwa.

Maka perbaharui reformasi kali ini biar tidak retorik. Perkenalkan reset biar tak jadi populis.

Biar ada dasar untuk berpijak. Biar ada solusi untuk kesejahteraan rakyat.

Ayuh para pemimpin dan cendekiawan. Rehat sebentar dari politiking. Kita sama-sama duduk cari formula yang berkesan. Duduk untuk bina solusi yang mendasar. Duduk meneliti mana yang patut dibuang, mana patut diubah.

Supaya akhirnya semua rakyat terduduk kepuasan.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 9/2/2023

- Advertisement -
- Advertisement -