Bayi baru lahir ditemui hidup di bawah runtuhan di Syria

Seorang bayi perempuan yang dilahirkan di bawah runtuhan pangsapuri akibat gempa bumi yang melanda Syria dan Turki menerima rawatan di dalam inkubator di hospital kanak-kanak di bandar Afrin dalam wilayah Aleppo, Syria pada 7 Feb 2023. (FOTO: AP/Ghaith Alsayed))
- Advertisement -

JINDERIS, Syria: Penduduk yang menggali bangunan runtuh di bandar barat laut Syria, di sini, terkejut apabila menemui seorang seorang bayi menangis seolah-olah baru sahaja dilahirkan ibunya ketika tertimbus di bawah runtuhan akibat gempa bumi dahsyat pada Isnin (6 Feb).

- Advertisement -

Rahman Sleiman, seorang saudara kepada mangsa memberitahu The Associated Press (AP) pada Selasa (7 Feb), tali pusat bayi perempuan yang baru lahir itu masih bersambung dengan ibunya, Afraa Abu Hadiya, yang malangnya telah meninggal dunia.

“Bayi itu adalah satu-satunya ahli keluarganya yang terselamat daripada bangunan kediaman yang runtuh Isnin (6 Feb) lalu di bandar kecil Jinderis, dalam wilayah Aleppo bersebelahan sempadan Turki,” tambah Sleiman.

Gempa bumi pertama berukuran 7.7 magnitud melanda pada jam 4.17 pagi Isnin itu, diikuti dengan beberapa gegaran susulan, menyebabkan kemusnahan meluas di seluruh selatan Turki dan utara Syria. 

Orang ramai mencari mangsa yang mungkin terselamat di bawah runtuhan bangunan pangsapuri lima tingkat – lokasi di mana seorang bayi baru lahir ditemui hidup di Jinderis, Syria pada 7 Feb 2023. (FOTO: AP/Ghaith Alsayed)

Setakat ini, 7,800 telah disahkan terkorban dengan angka tersebut dijangka meningkat apabila lebih banyak mayat ditemui di bawah runtuhan bangunan pangsapuri lima tingkat itu. 

Namun di Jinderis, setidak-tidaknya muncul berita gembira ini, apabila bayi baru lahir itu diselamatkan petang Isnin – lebih 10 jam selepas gempa kuat pertama melanda. 

“Selepas penyelamat yang menggali menyelamatkan bayi itu, seorang jiran wanita memotong tali pusat, sebelum wanita itu dan yang lain bergegas bersama bayi itu ke hospital kanak-kanak di bandar Afrin berhampiran, di mana bayi itu kemudian diletakkan dalam inkubator,” kata doktor yang merawat bayi itu, Dr. Hani Maarouf.

Video penyelamatan yang tersebar di media sosial menunjukkan detik-detik selepas bayi itu dikeluarkan dari runtuhan, ketika seorang lelaki mengangkatnya, dengan tali pusatnya masih berjuntai, dan bergegas pergi ketika seorang lelaki lain melemparkan selimut untuk membalut bayi berkenaan.

Seorang lelaki mendokong seorang kanak-kanak kecil yang ditemui hidup di bawah runtuhan bangunan di Aleppo, Syria pada 6 Feb 2023. (FOTO: AP)

“Suhu badan bayi itu telah jatuh kepada 35 darjah Celsius (95 darjah Fahrenheit) dan dia mengalami lebam, termasuk yang bersaiz besar di belakangnya, tetapi dia berada dalam keadaan stabil,” tambah Maarouf.

Menurut doktor itu lagi, ibu bayi berkenaan (Afraa Abu Hadiya) pasti dalam berada dalam keadaam sedar semasa proses kelahiran anaknya, namun kemungkinan i meninggal dunia tidak lama kemudian.

Maarouf menganggarkan bayi itu dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui penyelamat, memandangkan jumlah suhunya yang telah menurun. 

“Jika bayi itu dilahirkan sejurus sebelum gempa bumi melanda, dia pasti tidak akan mampu bertahan selama berjam-jam dalam kesejukan. Malah, sekiranya bayi  itu ditinggalkan selama sejam lebih, dia pasti sudah meninggal dunia,” katanya.

Anggota kumpulan pertahanan awam Syria, dikenali sebagai White Helmets, mengangkut mangsa dari runtuhan bangunan di kampung Azmarin dalam wilayah Idlib, Syria pada 7 Feb 2022. (FOTO: Omar Haj Kadour/AFP melalui Getty Images)

Ketika gempa bumi melanda sebelum subuh pada Isnin itu, Afraa Abu Hadiya, suami dan empat  orang anaknya dilihat oleh jirannya cuba bergegas keluar dari bangunan pangsapuri  yang didiami mereka, tetapi struktur konkrit bangunan itu kemudian  runtuh menimpa kesemua mereka. 

“Jenazah mereka ditemui berhampiran pintu masuk bangunan itu,” kata Sleiman, yang tiba di tempat kejadian sejurus selepas bayi yang baru lahir itu ditemui.

Maarouf dalam pada itu berkata bayi berkenaan mempunyai berat 3.175 kilogram (7 paun), purata normal berat untuk bayi yang baru lahir, dan seterusnya dibawa hampir cukup bulan. 

“Satu-satunya kebimbangan kami ialah lebam di belakangnya, dan kami perlu melihat sama ada terdapat sebarang masalah pada saraf tunjangnya,” ujarnya sambil berkata bayi itu telah menggerakkan kaki dan lengannya secara normal.

Kanak-kanak kecil dikenali sebagai Nour berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat White Helmets dari bawah runtuhan konkrit bangunan yang runtuh di Jinderis pada 6 Feb 2023. (FOTO: Insider)

Jinderis, yang terletak di kawasan yang dikuasai pemberontak di barat laut Syria, terjejas teruk dalam gempa bumi  itu, dengan berpuluh-puluh bangunan runtuh.

Abu Hadiya dan keluarganya adalah antara berjuta-juta rakyat Syria yang melarikan diri ke wilayah yang dikuasai pemberontak dari bahagian lain di negara itu. 

“Mereka berasal dari kampung Khsham di timur wilayah Deir el-Zour, tetapi berhijrah ke situ pada tahun 2014 selepas kumpulan pemberontak menawan kampung mereka”, kata seorang lagi saudara Abu Hadiya yang mengenalkan dirinya sebagai Saleh al-Badran.

“Pada 2018, keluarga itu berpindah ke Jinderis selepas Tentera Kebangsaan Syria yang disokong Turkiye, menawan bandar itu daripada pejuang diketuai Kurdish yang disokong Amerika Syarikat,” kata Sleiman.

Penduduk sayu melihat kubur yang disediakan untuk mangsa gempa bumi yang terkorban di wilayah Aleppo, Syria padfa 7 Feb 2023. (FOTO: AFP)

Pada Selasa (7 Feb), Abu Hadiya dan bapa gadis itu Abdullah Turki Mleihan, bersama empat lagi anak mereka telah dikebumikan di tanah perkuburan di pinggir Jinderis.

Sementara  keadaan semasa dalam bandar berkenaan, operasi menyelamat masih diteruskan di runtuhan  bangunan keluarga malang itu  dengan harapan untuk mencari mangsa lainyang mungkin terselamat.

Pekan kecil itu juga menyaksikan satu lagi penyelamatan dramatik pada petang Isnin (6 Feb), apabila seorang kanak-kanak kecil ditarik hidup-hidup dari serpihan bangunan yang runtuh. 

Video dari White Helmets, perkhidmatan kecemasan di wilayah itu, menunjukkan seorang penyelamat menggali konkrit hancur di tengah-tengah logam terpintal sehingga gadis kecil itu, bernama Nour, muncul. 

Kanak-kanak itu, yang masih separuh tertimbus kemudian mendongak dengan terpinga-pinga ketika pasukan menemuinya dan kebetulan bapa kanak-kanak berkenaan turut berada di situ memujuk anaknya agar tenang.

Seorang penduduk di hadapan runtuhan bangunan kediaman di Osmaniye, Syria pada 7 Feb 2023. (FOTO: AP)

Seorang penyelamat memegang kepala kanak-kanak itu di tangannya dan mengelap debu di sekeliling matanya dengan lembut sebelum dia ditarik keluar.

Gempa bumi itu telah mencetuskan kemusnahan baharu di zon yang dikuasai pembangkang, berpusat di wilayah Idlib di Syria, yang sudah dilanda perang bertahun-tahun dan ketegangan yang memuncak dengan kemasukan pelarian yang kehilangan tempat tinggal daripada perang saudara di negara itu, yang bermula pada 2011.

Tragedi gempa bumi Isnin lalu itu telah mengorbankan ratusan orang di seluruh kawasan itu, dan jumlah korban terus meningkat dengan ratusan dipercayai masih hilang di bawah runtuhan bangunan berkenaan. 

Menurut kenyataan White Helmets memetik maklumat daripada pertahanan awam di kawasan itu, gempa bumi tersebut  telah merobohkan sepenuhnya atau sebahagian lebih daripada 730 bangunan dan merosakkan ribuan lagi di wilayah berkenaan.

White Helmets mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam menggali mangsa dari bangunan yang dihancurkan oleh pengeboman dari pesawat perang Rusia atau tentera kerajaan Syria, namun kejadian gempa bumi adalah bencana baharu bagi mereka.

“Kedua-duanya (perang dan gempa bumi) adalah malapetaka –  bezanya perang telah berlangsung selama 12 tahun oleh pihak yang  tidak bertanggungjawab; namun gempa bumi  ini adalah malapetaka semula jadi,” kata Timbalan Ketua White Helmets, Munir Mustafa.

Ditanya sama ada terdapat perbezaan antara kerja menyelamat mangsa gempa bumi berbanding semasa perang, beliau berkata, “Kita tidak boleh membandingkan kematian akibat gempa bumi dengan kematian angkara perang… Apa yang kita saksikan hari ini ialah kematian yang mengatasi semua kematian.” – HARAKAHDAILY 8/2/2023

- Advertisement -